SAYA rasa tidak selamat, tidak dilindungi oleh sistem di Malaysia, itu luahan bekas pelumba motosikal berkuasa besar, Yulina Tan, dalam satu ciapan di Instagram pada Rabu.
Menurut gadis kacukan Cina dan Jepun itu, dia mendedahkan bahawa dirinya merupakan mangsa keganasan rumah tangga dan selama ini dia disuruh untuk berdiam diri.
Berkongsi tentang apa yang dlalui olehnya, Yulina memberitahu, dia pernah bertemu dengan pihak berkuasa tetapi dimaklumkan bahawa apa yang berlaku pada dirinya sebagai satu perselisihan faham.
"Beberapa hari kemudian saya dipanggil supaya memberi kenyataan, begitu juga dengan teman lelaki saya.
"Namun, pada Rabu saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa hasil siasatan mendapati bahawa dia (pasangan) 'tidak berniat untuk memukul (mengkasari) saya secara fizikal, dan susulan itu kes tidak diteruskan dan mereka tidak akan menyiasatnya lagi," demikian dakwanya Yulina.
Tambahnya, dalam situasi yang berlaku kepada dirinya, dia sering dianggap 'salah' atas segala pergaduhan yang berlaku yang mana membuatkan dia seolah-olah tidak boleh bersuara.
"Saya bersuara hari ini kerana takut berikutan tiada siapa yang mempercayai saya.
"Saya sering disalahkan, dikatakan sebagai punca, pencetus dan disuruh menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Itu sebab kenapa sebelum ini saya mendiamkan diri," ujarnya.
Kongsinya lagi, dia juga pernah ke pejabat guaman kerajaan dan disuruh supaya mendapatkan rawatan di hospital.
Katanya lagi, meskipun hospital memgesahkan keadaan diri saya (dikasari), pertuduhan kes sivil akan menelan kos yang tinggi.
"Walaupun mengalami lebam, pertuduhan kes sivil akan menelan kos yang melebihi tuntutan.
"Saya merasakan seperti tidak dilindungi oleh sistem di Malaysia," luahnya yang turut memberitahu bahawa kejadian (dikasari) berlaku pada dirinya pada 26 Mac 2022.
Tambahnya lagi, dia berharap agar tiada orang lain perlu berdepan situasi yang dihadapi olehnya.
"Saya mengalami banyak kesakitan dan bukan hanya secara fizikal," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komissioner A.Asmadi Abdul Aziz dalam satu kenyataan memberitahu, pihak polis sudah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu pada 27 Mac 2022 menyatakan berlaku pertengkaran dan pergelutan di antara beliau dan bekas teman lelaki beliau yang telah beristeri.
"Puncanya ialah apabila bekas teman lelaki telah insaf dan ingin bersama keluarga yang menyebabkan keputusan ini sukar diterima oleh pengadu," katanya.
Tambahnya lagi, siasatan lanjut diteruskan dengan mengambil keterangan saksi-saksi yang terlibat dan mendapatkan laporan perubatan untuk melengkapkan siasatan.
Jelasnya lagi, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2145, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya lagi.
Majoriti kini cuba untuk berhubung dengan Yulina bagi mendapatkan respons lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram