Galak pecah tabung masjid di Melaka, rupa-rupanya Bang Chik beli dadah


  • 112
  • Khamis, 07 Apr 2022

Suspek dikenali Abang Chik ditahan pada Jumaat lalu. — Sinar Harian

SEORANG lelaki dikenali sebagai 'Bang Chik' ditahan dipercayai terlibat dalam 23 kes jenayah pecah tabung surau dan masjid di sekitar Melaka sejak Januari lepas melibatkan kerugian RM5,650.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Pantai Puteri di sini dalam Op Tabung kira-kira 12.15 pagi pada 1 April lepas.

Beliau berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku melakukan jenayah pecah tabung masjid dan surau di negeri berkenaan melibatkan 16 kes di Melaka Tengah, Alor Gajah (enam kes) dan Jasin (satu kes).

"Beliau melakukan jenayah berkenaan seorang diri antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi dan turut mengaku terlibat dalam jenayah pecah tabung di beberapa masjid dan surau di Negeri Sembilan.

"Modus operandi kes ini ialah suspek masuk ke dalam masjid atau surau yang kebanyakannya tidak berkunci sebelum bertindak memecahkan mangga tabung yang diikat pada tiang di premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di Melaka pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek yang tidak bekerja itu menggunakan duit hasil jenayah untuk perbelanjaan harian, membaiki motosikal dan membeli dadah.

Katanya, suspek yang ditahan reman sehingga hari ini, turut mempunyai 19 rekod lampau terdiri dari 13 rekod jenayah dan enam rekod dadah.

Zainol berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan denda.

Dalam pada itu, beliau berkata, jenayah pecah tabung masjid dan surau meningkat sebanyak 24 kes kepada 41 kes dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 17 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Peningkatan kes berkenaan menunjukkan trend yang membimbangkan bagi jenayah pecah tabung masjid dan surau di Melaka.

"Justeru ‘task force’ Op Tabung telah ditubuhkan bagi mengesan suspek terlibat sekali gus membanteras jenayah berkenaan daripada terus meningkat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram