Empat penyelam tak timbul dari negara berbeza, ada lesen termasuk seorang dive master


  • 112
  • Khamis, 07 Apr 2022

KEEMPAT-EMPAT penyelam tidak timbul selepas melakukan latihan selaman pada pukul 12 tengah hari, Rabu.

EMPAT penyelam warga asing termasuk seorang dive master yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di Mersing, Johor pada Rabu masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa diteruskan pukul 8 pagi Khamis.

Penyelam yang hilang merupakan seorang lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46, dan remaja warga Belanda, Nathan Renze, 14.

Dua lagi penyelam merupakan seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18, dan wanita Norway, Kristine Grodem, 35 yang juga merupakan Dive Master.

Difahamkan kesemua mereka mempunyai lesen menyelam.

Laporan awal mendapati, keempat-empat penyelam tidak timbul selepas melakukan latihan selaman pada pukul 12 tengah hari, Rabu.

Op Carilamat digerakkan kira-kira pukul 2.35 petang Rabu, melibatkan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Grup Gerak Khas (GGK), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perikanan.

Seramai 61 anggota dan 12 pegawai pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat turut meninjau pusat operasi di Jeti Penguatkuasaan Maritim, Mersing, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram