Misteri bau busuk longkang tepi sekolah di Seremban terbongkar, jumpa mayat berulat tanpa seluar


  • 112
  • Isnin, 28 Mac 2022

MAYAT ditemukan oleh seorang individu yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja pada petang Ahad. — PDRM

MAYAT seorang lelaki tidak berseluar dan tanpa identiti ditemukan dalam longkang di tepi jalan besar Jalan Tok Ungku bersebelahan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mewah, Rahang, dekat Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mayat berkenaan ditemukan pada jam 7.12 malam Ahad oleh seorang individu yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Wisma Nadaraja.

"Saksi terhidu bau busuk dari arah longkang dan menjumpai mayat lelaki sebelum menghubungi talian 999 untuk bantuan. Mayat itu ditemui di dalam longkang yang berkeluasan dua kaki lebar (0.6 meter) dan kedalaman lebih kurang empat kaki (1.2 meter).

"Mangsa memakai baju berkolar dan vest bertulisan 'security' di belakang. Bagaimanapun mangsa didapati tidak memakai seluar serta tidak berselipar atau kasut. Tiada sebarang dokumen diri ditemui," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan awal forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan tidak dapat memastikan punca kematian lelaki itu, kerana keadaannya yang telah membengkak dan berkulat dan unit K9 juga tidak menemukan sebarang bahan bukti semasa pengesanan dilakukan sekitar kawasan tersebut.

Menurutnya, lelaki itu dianggarkan telah meninggal dunia lebih kurang empat hari dan tidak dapat dipastikan sebarang unsur jenayah yang boleh mengaitkan dengan kematiannya.

Nanda berkata, punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan oleh Hospital Tuanku Ja’afar dan setakat ini kes diklasifikan sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mayat, lelaki, maut, ditemui, longkang, rahang, seremban