Bazar Ramadan: DBKL mahu teliti aduan peniaga terlebih dulu selepas setahun


  • Massa
  • Sabtu, 02 Apr 2022

PEMASANGAN pagar di sekitar bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman pada tahun lalu memberi impak kepada hasil jualan para peniaga yang kurang memberangsangkan. — The Star

BULAN Ramadan pada tahun ini sudah tentunya berlangsung dengan lebih meriah terutamanya selepas pelbagai kelonggaran diberikan oleh kerajaan bermula April.

Bagi golongan peniaga bazar Ramadan, tempoh dua tahun sebelum ini yang dilalui cukup sukar susulan penularan Covid-19, pasti meninggalkan impak negatif kepada mereka.

Namun, Majoriti difahamkan terdapat segelintir peniaga yang menzahirkan keluhan bahawa berlaku sedikit kekangan dalam soal urus niaga bazar mereka.

Majoriti kemudiannya terus berhubung dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung isu tersebut.

Menurut respons yang diterima, jurucakap DBKL memaklumkan tiada sebarang aduan rasmi diterima pihaknya daripada para peniaga terutamanya melibatkan bazar Ramadan.

"Hanya bazar di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Stadium Bola Sepak Cheras Kuala Lumpur berada di bawah kelolaan kami.

"Bazar-bazar lain di sekitar Kuala Lumpur adalah di bawah penganjur tertentu.

"Macam tahun lepas, kami tidak terima sebarang aduan, semuanya dalam keadaan baik.

"Namun kalau kami ada menerima aduan, DBKL akan teliti perkara tersebut," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, selain isu pemulangan semula wang cagaran (refund) gara-gara tidak dapat berniaga penuh di bazar Ramadan selama sebulan pada 2021, tinjauan Majoriti sebelum ini mendapati beberapa peniaga bazar di Jalan TAR turut mendesak agar DBKL tidak lagi memasang pagar kali ini, seperti dilakukan pihak itu pada tahun lalu.

Menurut para peniaga, pemasangan pagar itu hanya mengehadkan kehadiran pengunjung dan menjejaskan hasil jualan mereka.

Selain itu, para peniaga juga mendesak agar sedikit kelonggaran diberikan untuk mereka berniaga di lokasi tertentu tanpa sebarang bayaran memandangkan keadaan ekonomi yang kurang baik ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bazar, Ramadan, DBKL, pagar, SOP, Covid-19, Aidilfitri, aduan