SEBANYAK 72 lokasi bazar Ramadan membabitkan 5,000 gerai akan beroperasi di sekitar ibu kota sepanjang bulan Ramadan dijangka bermula Ahad ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pengoperasian itu bermula sekitar 3 petang hingga 8 malam.
"Walaupun selepas 1 April kita telah masuk fasa peralihan ke endemik, kita mahu mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga penjarakan dan SOP (prosedur operasi standard) lain, " katanya kepada pemberita ketika melawat tapak penyusunan penjaja di Jalan Dungun dan Jalan Gelenggang di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata, kementerian juga menyasarkan penglibatan lebih 10,000 sukarelawan atau 'duta komuniti' bertujuan memantau, memberi peringatan, nasihat dan teguran berkaitan pematuhan SOP bagi mengekang penularan Covid-19.
Shahidan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengenal pasti dan mewujudkan beberapa lokasi strategik bagi penyusunan penjaja di sekitar ibu negara bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara berpusat, lebih sistematik dengan ruangan lebih kondusif.
"Penyusunan semula penjaja ini akan diperkenalkan di seluruh kawasan di Kuala Lumpur, paling penting kita hendak pastikan penduduk sekitar tidak terganggu dengan kehadiran penjaja yang mahu mencari rezeki," katanya.
Shahidan berkata, pelaksanaan program tersebut akan dijalankan secara berfasa dengan memberi tumpuan kepada lokasi khas penjaja dalam bandar mengikut keutamaan.
Katanya, program penyusunan semula penjaja itu juga mendapat kerjasama badan bukan berkanun (NGO) yang memberi kelebihan kepada penjaja antaranya kanopi percuma dan diskaun sewaan tapak. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram