TARIKH 1 April 2022 merupakan detik bersejarah bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura selepas dua tahun terkandas di negara berkenaan akibat Covid-19.
Pengumuman kerajaan yang membuka semula pintu sempadan merupakan berita yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia di negara berkenaan.
Terpaksa berpisah dengan ahli keluarga selama dua tahun bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuh, apatah lagi jika berada di perantauan.
Sejak tengah malam Jumaat, kebanyakan warganet berkongsi detik-detik rakyat Malaysia yang tidak sabar menunggu di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura untuk kembali ke tanah air tercinta.
Antara individu yang berkongsi detik itu adalah Shakir Ibrahim.
Pemuda berusia 29 tahun itu yang bekerja di salah sebuah kilang pembuatan roti di Singapura, sering berulang alik ke negara berkenaan sejak 2016.
"Perasaan itu sukar untuk digambarkan, rasa seronok dan teruja sangat.
"Ada juga rasa semangat patriotik itu. Tambahan pula, saya bersama-sama rakyat Malaysia yang turut lama terkandas di Singapura.
"Kami merasakan macam sambutan Hari Raya pun ada," katanya kepada Majoriti.
Berkongsi pengalamannya terkandas di Singapura selama dua tahun, Shakir berkata, berjauhan dengan ahli keluarga tercinta merupakan sesuatu momen yang disifatkan 'sedih dan pedih'.
"Kalau saya sedang bercuti dan membeli barang atau mahu ke tempat kerja, apabila melihat orang lain bersama ahli keluarga mereka, saya terus terfikirkan isteri dan anak saya di Malaysia.
"Rasa rindu itu, Ya ALLAH. Saya pernah disahkan positif Covid-19 di Singapura selama tujuh hari, tanpa ahli keluarga atau peneman di sisi," ujarnya.
Menurut Shakir, apabila Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia bakal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, hatinya berbelah bahagi kerana baru sahaja menimang cahaya mata pertama.
"Saya mengambil cuti sehingga 13 Mac. Anak saya lahir pada 6 Mac.
"Pada malam 17 Mac itu, saya teragak-agak untuk masuk ke Singapura tetapi ketika itu, pengurus menghantar mesej kepada saya, majikan akan menyediakan tempat tinggal sekiranya saya mahu masuk ke negara itu.
"Waktu itu, isteri saya di Kuala Lumpur, sedang berpantang di rumah mertua.
"Maka, saya pun berbincang dengan isteri. Selepas berbincang, saya mengambil keputusan untuk masuk ke Singapura pada 17 Mac.
"Muhyiddin ketika itu memaklumkan PKP hanya akan dilaksanakan selama dua minggu.
"Kebanyakan rakyat Malaysia yang masuk ke Singapura pada ketika itu, beranggapan PKP akan dilaksanakan selama dua minggu dan kami boleh berulang alik semula seperti biasa.
"Namun, sebaliknya kami terkandas selama dua tahun. Pengurus saya juga memberitahu, PKP tidak akan dilaksanakan selama dua tahun kerana Covid-19 adalah pandemik yang berbeza," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram