Kes baharu Covid-19 bawah paras 20,000 selama 4 hari, catat 15,941 kes pada Rabu


  • Primer
  • Khamis, 31 Mac 2022

DARIPADA 108 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan pada Rabu, 26 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 45 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 37 kes telah menerima dos penggalak

JUMLAH kes baharu Covid-19 berada di bawah paras 20,000 selama empat hari berturut-turut dengan 15,941 kes dilaporkan pada Rabu, menjadikan kumulatif kes baharu kini 4,183,359 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada Ahad lepas sebanyak 16,863 kes baharu dilaporkan, Isnin (13,336 kes) dan Selasa (15,215 kes).

Menurutnya daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan pada Rabu, 7,474 kes merupakan kategori satu, 8,359 kes (kategori dua), 50 kes (kategori tiga), 26 kes (kategori empat) dan 32 kes (kategori lima).

"Daripada 108 kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan pada Rabu, 26 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 45 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, manakala 37 kes telah menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 21,186 kes sembuh Covid-19 dilaporkan pada Rabu, sekali gus mengatasi kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh yang direkodkan dalam negara sehingga kini adalah sebanyak 3,941,829 kes.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu pada Rabu sebanyak 275 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 168 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19, beliau berkata, tiga negeri mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil ICU setakat semalam iaitu Putrajaya dengan 67 peratus, Selangor (55 peratus) dan Kuala Lumpur (53 peratus).

Beliau berkata, bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri mencatat penggunaan melebihi 50 peratus, manakala pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 168 pesakit dengan peratusan penggunaan alat itu sebanyak 19 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 845 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital pada Rabu dengan 366 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, sementara selebihnya adalah kategori satu serta dua.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.88 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.04 dan Sabah kekal mencatat kadar paling rendah dengan 0.67. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dr Noor Hisham, Covid-19, kes sembuh, katil, ICU