Pencemaran bukan punca ribuan ikan mati terdampar di Pantai Pengkalan Balak


  • Massa
  • Selasa, 29 Mac 2022

RIBUAN ikan tamban pias mati ditemui terdampar di sepanjang pantai Pengkalan Balak di Melaka. — Facebook

MINGGU lalu, tular gambar beribu-ribu ikan mati ditemui terdampar di sepanjang pantai Pengkalan Balak di Melaka.

Ada pihak termasuk sekumpulan nelayan mendakwa ia berlaku disebabkan pencemaran sulfur.

Pada Isnin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ribuan ikan mati itu berkemungkinan besar dibuang oleh nelayan.

Beliau berkata, laporan awal Jabatan Perikanan negeri menunjukkan ikan tamban pias mati ditemui di sepanjang satu kilometer tepi pantai antara Teluk Gong dan Sungai Tuang.

"Spesies ini tidak mempunyai nilai komersial dan mungkin telah dibuang oleh nelayan tempatan," katanya ketika ditemui di Seri Negeri di Ayer Keroh pada Isnin.

Beliau berkata, ikan tamban pias mempunyai tulang yang banyak dan baunya sangat hanyir.

"Oleh itu, spesies ini tidak mempunyai nilai dan mungkin nelayan mengambil jalan mudah dengan membuang ikan mati ke laut," katanya.

Sulaiman berkata, nelayan mungkin berbuat demikian ketika membersihkan pukat dalam perjalanan pulang menangkap ikan.

"Tiada spesies marin lain ditemui terdampar sepanjang pantai, ia jelas menunjukkan tiada pencemaran akibat tumpahan minyak atau bentuk pencemaran lain.

"Ujian yang dilakukan ke atas sampel air laut juga menunjukkan keputusan normal," tambahnya.

Pada Ahad, sekumpulan nelayan di Teluk Gong menyalahkan pencemaran sulfur sebagai punca ribuan ikan mati.

Kejadian itu menyebabkan pengunjung pantai segera meninggalkan kawasan kerana bau busuk bangkai ikan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram