ISU membabitkan Loh Siew Hong dan tiga orang anaknya baru-baru ini menggemparkan negara terutamanya apabila melibatkan isu sensitif iaitu pertukaran agama.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan tiga anaknya yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan segera kepada Siew Hong selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal tersebut.
Siew Hong berbangsa Cina tetapi beragama Hindu manakala bekas suaminya adalah berbangsa India.
Menurut media tempatan, bekas suaminya, Nagashwaran Muniandi yang kini berada di penjara, memeluk agama Islam dan mengizinkan anak-anaknya memeluk Islam secara sukarela.
Bagaimanapun, ada pihak cuba memanipulasi kes tersebut dengan niat untuk mencetuskan ketegangan agama dan kaum yang akhirnya membangkitkan kemarahan masyarakat.
Selain itu, kes membabitkan Siew Hong tidak mendapat campur tangan sewajarnya daripada ahli Parlimen Muslim.
Menurut Ketua Wanita Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Siti Umi Kalsom Hussin, tindakan berdiam diri sebahagian besar Ahli Parlimen Muslim tentang isu tersebut adalah tidak wajar dan membimbangkan.
"Isu menjaga aqidah adalah salah satu daripada maqasid syarak.
"Walaupun sekali pun tidak tahu makna maqasid syarak, cukup ada iman dan rasa nak pertahankan aqidah rakyat.
"Tapi sangat mendukacitakan, isu aqidah ini dipandang sepi oleh pemimpin umat Islam di Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mempersoalkan tujuan sebenar Ahli-ahli Parlimen berkenaan terlibat dalam politik dan bentuk perjuangan mereka.
"Persoalan ini sepatutnya menjadi pertimbangan utama untuk rakyat memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti dan mana-mana jenis Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK).
"PRN Johor ini sama-sama kita bersihkan pemimpin yang tak menjaga aqidah kita.
"Adalah isu anak-anak Siew Hong ini merupakan citra 'Keluarga Malaysia' seperti dicanangkan oleh Perdana Menteri?
"Kalau ini rupa paras 'Keluarga Malaysia', bagaimanakah penghujungnya? Adakah kita akan mencipta sejarah sebagai penghancur benteng-benteng yang dibina oleh nenek moyang kita?
"Mereka pertahankan dengan darah dan air mata," jelasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram