Dua suspek kes samun warga emas di Bandar Tun Razak ada 18 rekod jenayah


  • 112
  • Selasa, 29 Mac 2022

KEJADIAN samun warga emas di hadapan rumah anaknya di Bandar Tun Razak, pada Sabtu. (Gambar kecil: Muhammad Idzam) — Facebook

KEDUA-DUA suspek samun seorang wanita warga emas di hadapan rumah anaknya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur dalam kejadian pada Sabtu, didapati memiliki 18 rekod jenayah berkaitan dadah dan samun.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warganegara berumur 35 tahun pada Ahad lepas.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek terbabit memiliki 18 rekod lampau.

Menurutnya, penahanan suspek pertama membawa kepada kepada tangkapan seorang lagi suspek yang berumur 29 tahun pada Isnin, yang didapati turut memiliki 18 rekod lampau.

RAKAMAN tular kes samun warga emas di Bandar Tun Razak. — Facebook

"Melalui tangkapan kedua, polis berjaya merampas barangan yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut beserta wang tunai sebanyak RM5,300," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Muhammad Idzam berkata, reman ke atas suspek pertama telah dibenarkan selama hari bermula 27 Mac 2022 hingga 1 April 2022 bagi membantu siasatan.

"Reman ke atas suspek kedua pula selama tujuh hari bermula 29 Mac 2022 hingga 4 April 2022," katanya sambil menambah, dengan tangkapan itu, sebanyak enam kes masing-masing dua di Cheras dan empat di Dang Wangi, berjaya diselesaikan.

Terdahulu, pihak polis Cheras mengesan satu klip video berdurasi 17 saat memaparkan kejadian samun membabitkan seorang wanita warga emas di Bandar Tun Razak, yang tular di media sosial.

Katanya, hasil semakan mendapati kejadian samun itu berlaku pada hari sama (26 Mac 2022), kira-kira jam 9 pagi di mana suspek adalah dua lelaki warga tempatan yang bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.

"Aksi di dalam video tersebut menunjukkan suspek telah menarik dua utas rantai leher dan memotong dua utas gelang tangan dengan menggunakan gunting pemotong (cutter) sebelum melarikan diri menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Beliau berkata, semasa kejadian mangsa yang berusia 77 tahun itu ingin keluar makan bersama anaknya.

"Mangsa mengalami cedera ringan di bahagian tangan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM25,000," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram