'Berniaga tak boleh syok sendiri,' Bekas jurutera kongsi pahit jerih jadi pengusaha makanan


  • Bizz
  • Selasa, 29 Mac 2022

ROZITA (kiri) mengakui suaminya merupakan tulang belakang sepanjang berkecimpung dalam dunia perniagaan. — Ihsan Rozita

MEMILIKI latar belakang daripada keluarga yang menjalankan perniagaan, usahawan ini mula menceburi bidang berkenaan selepas pemergian bapa tercinta sekitar tahun 2007.

Mewarisi perniagaan makanan diusahakan oleh arwah bapanya bukanlah sesuatu perjalanan yang mudah bagi Rozita Bakar.

"Selepas bapa saya meninggal, saya pulang ke kampung halaman di Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

"Masa itu, saya macam patah hati untuk bekerja. Sebelum itu, saya bekerja dalam bidang kejuruteraan. Suami juga bekerja dalam bidang sama.

"Saya bawa bersama tiga orang anak-anak saya ke Muadzam Shah.

"Sewaktu saya mengambil alih perniagaan arwah bapa, ramai orang membandingkan masakan ibu dengan saya. Mereka tak boleh terima.

"Tambahan pula, ramai orang sudah mengenali arwah bapa. Ibu saya pula sudah tidak berniaga," katanya kepada Majoriti.

Bertitik tolak dari situ, Rozita mengambil tender menjual makanan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Saya diberitahu hendak mendapat untung sebanyak RM200 sehari di MRSM agak sukar. Tak akan mahu minta bantuan ibu.

"Suami saya pesan, tawakal dengan kebolehan yang kita ada. Berbekalkan modal RM600, saya memulakan perniagaan di MRSM. Saya beli barangan dapur, yang mana kurang, saya minta hutang dulu.

"Syukur, hari pertama berniaga, saya boleh dapat untung RM1,000.

"Rahsianya, saya buat kajian. Saya cuba pikat golongan guru di situ yang rata-rata berusia 30 hingga 40 tahun. Berniaga ini tidak boleh syok sendiri, kena tengok apa pelanggan mahu," ujarnya.

PRODUK Epin milik Rozita turut dipasarkan di beberapa pasar raya. — Ihsan Rozita

Sejauh mana perjalanan manusia di Bumi ciptaan ALLAH ini, tentu sahaja ada onak ranjaunya.

Rozita turut diuji apabila kontraknya ditamatkan serta-merta sewaktu menjalankan perniagaan di Politeknik Muadzam Shah selepas empat tahun bertapak di situ.

"Waktu itu, setiap hari saya dapat untung RM3,000 hingga RM4,000. Saya mula ghairah untuk berniaga sehingga terleka, lupa Pencipta kita.

"Suatu hari, ALLAH nak bagi kami sedar, rezeki itu ditarik. Kami tak bersedia apabila kontrak ditamatkan.

"Selepas kontrak ditamatkan, semangat kami luntur. Kami tak mahu melakukan apa-apa.

"Apabila kami mendapat semangat semula, kami bermula dari bawah dengan berniaga di tepi jalan serta menyewa tapak pasar malam," menurut beliau lagi.

Screenshot 2022-03-29 002408

ANTARA produk yang dijual oleh Rozita. — Ihsan Rozita

Berkongsi perkembangan terkininya, Rozita sedang mengusahkan sebuah kilang di Banting, Selangor yang memfokuskan kepada lima produk.

Produk-produk tersebut adalah sambal pecal, sambal satay, rojak pesembur, acar buah dan rempeh begedil.

"Kesemua produk ini di bawah jenama Epin. Kami mendapat idea menjual produk seperti sambal pecal bermula dari suami saya.

"Tambahan pula, ramai penduduk berketurunan Jawa tinggal di Banting. Sambal pecal ini pula makanan orang Jawa.

"Kami kini dalam perancangan mengeluarkan keropok kulit lembu. Di negara ini, tiada orang menjual produk sebegitu.

"Produk itu dibuat di Indonesia sebelum dihantar semula ke Malaysia. Makanan ini pula sesuai untuk mereka yang sedang diet," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram