VIDEO pergaduhan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan pengunjung sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) menjadi perhatian di media sosial pada Ahad.
Kejadian yang dipercayai berlaku di PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dfahamkan berpunca apabila pengunjung tersebut tidak berpuas hati kerana dia dihalang untuk masuk sedangkan ada pengunjung lain yang lebih lewat daripadanya dibenarkan naik ke ruang vaksinasi terlebih dahulu.
Dikongsi oleh Arif Danial di grup Facebook, Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia, video yang diambil dari akaun Tiktok, @yopnorha itu memaparkan seorang pengunjung lelaki berbaju biru sedang memarahi seorang anggota Rela.
Lanjutan daripada video berkenaan, anggota Rela (lelaki) tersebut dilhat berang dan mengajak pengunjung tersebut 'menyelesaikannya' di luar PPV.
Ketegangan itu cuba dileraikan oleh seorang lagi anggota Rela wanita yang mana pengunjung yang dilihat 'kecut perut' itu kemudian menjelaskan kenapa dia berang.
"Saya sudah beratur dari tadi tapi orang lain yang diberi naik terlebih dahulu," katanya.
Pengunjung tersebut bagaimanapun kembali ke tempat menunggu selepas itu selepas kelihatan ditenangkan oleh beberapa anggota Rela yang lain.
Susulan tularnya video itu, ramai pengguna Facebook meninggalkan komen tentang pandangan mereka berhubung kejadian berkenaan.
Ada di antara mereka yang memuji ketegasan anggota Rela tersebut dan begitu juga sebaliknya dan mengatakan dia 'lebih sudu dari kuah' atau berlebihan dalam menjalankan tugasnya.
Tiada kenyataan dikeluarkan Rela berhubung kejadian tersebut.
Majoriti kini cuba menghubungi pemilik akaun TikTok @yopnorha untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang kejadian berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram