Penunggang motosikal maut diseret lori sejauh 300 meter di Tangkak


  • 112
  • Jumaat, 25 Mac 2022

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah lori dan motosikal selepas terlibat kemalangan di Jalan Muar Sungai Mati, Parit Bunga, Tangkak, pada Jumaat.

SEORANG lelaki maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori sebelum terbakar di Jalan Muar Sungai Mati, Parit Bunga di Tangkak, Johor pada Jumaat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.05 pagi.

Katanya, 17 anggota dari BBP Tangkak dan BBP Muar bersama dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan melanggar sebuah motosikal sebelum mengheretnya sejauh 300 meter.

"Kemalangan mengakibatkan kedua-dua buah kenderaan tersebut terbakar. Penunggang motosikal merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri apabila lori terbakar.

Beliau memberitahu, kebakaran itu memusnahkan 90 peratus lori termasuk motosikal tersebut dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram