Saksi di Singapura setuju beri keterangan berhubung 1MDB — Polis


  • 112
  • Khamis, 24 Mac 2022

LEISSNER (tengah) dedah pembabitan Tawfiq dalam kes rasuah membabitkan projek 1MDB dan PetroSaudi. — Bloomberg

POLIS mengesahkan beberapa saksi termasuk pegawai bank di Singapura bersetuju untuk memberi keterangan berhubung kes suami bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Dr Tawfiq Ayman yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, beberapa saksi akan diambil keterangan termasuk pegawai bank.

"Kami akan menghantar sepasukan pegawai penyiasat akan ke negara berkenaan pada 29 dan 30 Mac ini bagi mengumpul maklumat.

"Apabila semua keterangan dan dokumen diperoleh, kami boleh teruskan dengan rujuk semula kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media di ibu negara pada Khamis.

Tawfiq sebelum ini menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatannya dan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Kenyataan tersebut hadir susulan keterangan diberikan Tim Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah melibatkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi dan 1MDB semasa perbicaraan di mahkamah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilaporkan mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

Tambah Mohd Kamarudin, setakat ini beberapa saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan tambahan keterangan saksi lain akan dibuat bergantung kepada keadaan.

Sebelum ini, Mohd Kamarudin dilaporkan berkata, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura bersetuju pasukan penyiasat polis ke negara itu bagi berkongsi maklumat atau dokumen secara 'on intelligence basis' untuk siasatan kes tersebut.

Ujarnya lagi, pihak berkuasa di Singapura memberi persetujuan untuk pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke negara berkenaan pada Disember 2021 dan Februari lepas, namun tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor.

Singapura beberapa kali membantu Malaysia berhubung siasatan melibatkan 1MDB sejak 2015. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram