KERAJAAN memberi jaminan untuk menyiasat sedalam-dalamnya kes penyelewengan melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui semua agensi berkaitan.
Jaminan itu diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkata, perlunya ‘political will’ atau tekad politik untuk melaksanakan siasatan kes tersebut.
"Seperti kata YB Port Dickson tadi (Datuk Seri Anwar Ibrahim) perlu adanya tekad politik, bukan hanya di pihak pembangkang tetapi juga di pihak kerajaan. Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga berkata, kita tidak boleh ragu, kalau betul memang bersalah kita akan pastikan mereka diheret ke kehakiman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan institusi Malaysia khasnya Bank Negara (BNM) berkaitan skandal 1MDB di sesi Kamar Khas, persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Mas Ermieyati berkata, dengan pendedahan siasatan dan perbicaraan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), ia dapat membantu kerajaan dalam usaha memberikan lagi jawapan atau penemuan lain berkaitan siasatan 1MDB.
Malah katanya, sebaik sahaja pendedahan oleh bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner dalam perbicaraan di New York baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat tindakan segera dengan memanggil seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat televisyen bersatelit pada 24 Februari lalu untuk mendapatkan keterangan mengenai dakwaan wanita itu telah menerima pemberian dengan menggunakan dana yang mungkin berkaitan dengan 1MDB.
"Kita masih lagi dalam siasatan, malah kita juga akan memanggil beberapa individu lagi untuk kita siasat sedalamnya, seperti kita tahu kes 1MDB ini telah menghantui rakyat Malaysia, menghantui seluruh negara, kerana ia melibatkan kuasa dunia yang agak besar, sebab itulah kita nyatakan sini kita harus serius dalam memastikan keadilan ini dapat dipertahankan,” katanya.
Mengenai kekangan mendapatkan maklumat di luar negara, Mas Ermieyati berkata, menjadi dasar pihak DoJ Amerika Syarikat untuk tidak berkongsi maklumat mengenai siasatan 1MDB dengan Malaysia.
Justeru, Mas Ermieyati berkata, kerajaan komited untuk menggunakan segenap mekanisme melalui saluran diplomatik dan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk mendapatkan maklumat untuk diguna pakai menyiasat mendapatkan bukti-bukti tambahan untuk membantu siasatan skandal syarikat pelaburan strategik itu.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, siasatan terhadap Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa terlibat dalam skandal tersebut tidak pernah dihentikan.
Beliau juga berkata, pada November lalu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan pemulangan sejumlah US$15.4 juta (kira-kira RM64.5 juta) berkaitan kes 1MDB yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Dr Tawfiq Ayman dan Samuel Goh pada 14 September 2021.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLA (Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) terhadap Tawfiq dan satu kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 14 Oktober 2021 dan 7 Oktober 2021.
"Bagaimanapun kertas siasatan telah dikembalikan semula kepada PDRM pada 21 Disember 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.
"Memandangkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura telah ditutup sehingga kini maka tindakan seterusnya akan diambil selepas pembukaan kedua-dua negara,” katanya.
SPRM juga katanya, memberi tumpuan kepada pemulangan aset yang ketika ini memberi tumpuan aset di negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.
Terdahulu, Anwar ketika membahaskan usul itu mendesak siasatan secara menyeluruh melibatkan institusi kewangan serta semua agensi penyiasatan terlibat dilakukan segera berikutan pendedahan terbaharu oleh Tim Leissner itu.
Ketua Pembangkang itu turut menuntut penjelasan daripada BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SPRM dan PDRM mengenai pendedahan itu.
"Kita minta pertamanya lakukan siasatan menyeluruh terhadap isu ini. Kita juga mahu penjelasan, tindakan, maklumat yang diperoleh serta tindakan terkini berkaitan kes 1MDB oleh kesemua agensi tadi,” katanya ketika membahaskan usul itu.
Usul berkenaan turut dibahas berapa Ahli Parlimen pembangkang iaitu Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), Lim Guang Eng (PH-Bagan), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Pejuang-Jerlun), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Pantai Dalam) dan Sivarasa K Rasiah (PH-Sungai Buloh). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram