POLIS dalam proses mengesan dan mengenal pasti beberapa dokumen serta saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan kes melibatkan Datuk Dr Tawfiq Ayman.
Tawfiq iaitu suami kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, disiasat berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Kami kemudiannya mendapat arahan untuk mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terlibat.
"Sejumlah saksi berada di luar negara dan kami masih menunggu maklum balas daripada negara terbabit.
"Kami cuba menghubungi mereka beberapa kali, tiada maklum balas terima," katanya pada sidang media di ibu negara pada Jumaat.
Tambah Mohd Kamarudin, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan keterangan saksi serta dokumen berkaitan, sebaliknya perlu menunggu lampu hijau dari negara berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co mengeluarkan kenyataan menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.
Kenyataan itu dibuat selepas bekas pengerusi syarikat perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner memberi keterangan ketika perbicaraan terhadap bekas pegawainya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini
Leissner mendakwa Tawfiq terlibat dengan rasuah dalam projek usahasama PetroSaudi-1MDB. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram