
KERAJAAN disaran memberikan kuota khas kepada agensi pekerjaaan swasta di bawah Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) untuk membantu sejumlah majikan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merekrut pekerja asing.
Setiausaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran berkata, ini termasuk kesemua 501 agensi berdaftar dalam kategori C di bawah Kementerian Sumber Manusia supaya memperoleh kuota berkenaan demi membantu golongan majikan berkenaan dalam urusan permohonan pekerja asing menerusi sistem Foreign Workers Centralized Management System (FCWMS).
Beliau berkata, ini kerana ramai di antara majikan itu gagal dalam memenuhi keperluan-keperluan yang disyaratkan dalam membuat permohonan itu sekali gus menafikan peluang mereka untuk mendapatkan pekerja asing.
Menurut beliau lagi, perkara itu diakui sendiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bahawa terdapat majikan yang menghadapi kesukaran untuk memohon secara dalam talian menggunakan sistem itu.
"Jadi kita akan galakkan majikan PMKS itu menggunakan kuota ini yang diperoleh agensi pekerjaan swasta sebagai fasilitator untuk membantu mereka merekrut pekerja asing.
"Langkah ini sebagai usaha membantu mereka dalam menyambung perniagaan mereka atau menghidupkan semula selepas ada yang terpaksa gulung tikar akibat pandemik Covid-19 selain mempunyai masalah tenaga kerja tidak mencukupi," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan PAPSMA, di ibu negara pada Khamis.
Turut hadir Presiden dan Timbalan Presiden PAPSMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid dan Datuk Kris Foo Yin Choo.
Sukumaran berkata, usaha memberikan kuota khas itu antara lain bagi mengelak mana-mana majikan yang terdesak untuk merekrut pekerja asing menggunakan khidmat ejen-ejen haram yang cuba mengaut keuntungan dengan cara salah.
Beliau berkata, kewujudan kira-kira 10,000 ejen haram ini boleh menjejaskan nama baik negara apabila timbul isu yang menyalahi undang-undang sekali gus membuka risiko aktiviti pemerdagangan manusia.
Lebih memburukkan, katanya, ejen-ejen haram ini menjual nama agensi pekerjaan swasta yang sah dan menyalahgunakan selain menawarkan kos-kos tertentu untuk menarik minat majikan.
"Kami berterima kasih kepada pihak menteri kerana memberi galakan kepada majikan untuk menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta kategori lesen C ini yang mempunyai wang jaminan berjumlah RM250,000 dengan kerajaan.
"Justeru, kami yang turut diiktiraf kedutaan asing negara sumber memberikan jaminan akan melaksanakan perkhidmatan ini secara telus, integriti dan beretika seterusnya melicinkan proses permohonan para majikan agar urusan pengambilan pekerja asing berjalan dengan baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram