Tiada kertas siasatan hangus, IPD Sepang terbakar tiada unsur khianat


  • 112
  • Rabu, 23 Mac 2022

KEJADIAN kebakaran di IPD Sepang yang berlaku pada Selasa. — Facebook

KEBAKARAN di tingkat satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor membabitkan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (S.I.O) pada Selasa tidak melibatkan unsur khianat dan jenayah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asistan Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, perkara berkenaan disahkan Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang diketuai Penguasa Kanan II Azlan Rahmat yang selesai melakukan siasatan di lokasi sehingga pukul 10.30 malam pada Selasa.

Kejadian kebakaran di tingkat satu IPD Sepang dilaporkan berlaku pada kira-kira 6 petang pada Selasa, sebelum berjaya dipadamkan pihak bomba 40 minit kemudian. Insiden kebakaran itu turut tular di media sosial.

Menurutnya, kebakaran disyaki berpunca dari pejabat pentadbiran BSJ dan seterusnya merebak ke pejabat bersebelahan iaitu pejabat S.I.O serta bilik mesyuarat BSJ.

"Tiada kertas siasatan yang terbakar," kata Wan Kamarul Azran ketika dihubungi pada Rabu.

Siasatan kebakaran di IPD Sepang itu turut disertai 21 anggota dan unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang berada lokasi sejak 8.30 malam.

Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat di BSJ mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut.

Jelasnya, kerosakan lain yang dikenal pasti adalah seperti gangguan talian Internet kerana kabel fiber optik turut terbakar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kebakaran, IPD Sepang, jenayah, unsur, kerosakan