SEBANYAK 43 mangsa banjir daripada 14 keluarga dari Kampung Suasa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Datuk Mohd Dun Banir, Beaufort, Sabah setelah rumah mereka dilanda banjir.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan PPS berkenaan mula dibuka Isnin lepas sebagai persediaan menghadapi bencana banjir berikutan cuaca hujan melanda daerah itu, sejak beberapa hari lepas.
"Setakat ini hanya sebuah kampung terlibat iaitu Kampung Suasa dan proses pemantauan di kawasan banjir masih giat dijalankan oleh agensi yang berkaitan," katanya.
Proses kemas kini maklumat mangsa banjir masih dijalankan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Dalam pada itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir itu pada pukul 2.53 petang pada Selasa sebelum bergegas ke kampung berkenaan sejauh kira-kira 30 kilometer dari pekan Beaufort bagi membantu memindahkan mangsa banjir.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan seramai 653 mangsa daripada 115 keluarga masih berada di tiga PPS daerah Tawau akibat kejadian kebakaran rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Tawau pada 17 Mac lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram