Ada yang belum vaksin, 2.7 juta pelajar tetap ikuti sesi persekolahan terbuka


  • Primer
  • Isnin, 21 Mac 2022

GOLONGAN ibu bapa didapati bersedia menghantar anak ke sekolah meskipun ada dalam kalangan murid yang belum menerima vaksin. — The Star

SEJUMLAH 2.7 juta pelajar memulakan sesi persekolahan bersemuka bagi penggal 1 sesi tahun ini di seluruh negara pada Isnin.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,674,104 murid adalah dari sekolah rendah dan 30,853 merupakan pelajar kolej vokasional.

Menurutnya, jumlah itu melibatkan 7,778 sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan serta 87 kolej vokasional bagi Tahun 2,3 dan 4.

"Selebihnya bagi pelajar sekolah menengah, hari ini mereka memulakan sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian hari pertama sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Kampung Kuang Hilir, Chemor di Ipoh, Perak pada Isnin.

Beliau berkata, mengambil kira situasi semasa ketika ini, kehadiran murid ke sekolah pada hari pertama adalah cukup baik termasuk daripada kalangan murid Tahun Satu yang merekodkan seramai 442,828 orang.

Katanya, berdasarkan tinjauan dilakukan, ibu bapa juga didapati bersedia menghantar anak ke sekolah meskipun terdapat kalangan murid yang belum menerima vaksin.

"Tidak timbul isu risau anak datang ke sekolah kerana secara umumnya masing-masing lihat ada keperluan untuk mereka mengambil ruang dalam keadaan peralihan dari fasa pandemik ke endemik ini untuk bersifat lebih terbuka.

"Ibu bapa ingin melihat anak-anak dapat hadir ke sekolah secara bersemuka.

"Apa yang penting adalah untuk kita memastikan segala SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan dapat dipatuhi dengan baik oleh guru dan murid supaya sesi persekolahan dapat berlangsung dalam keadaan selamat dan teratur," katanya.

Dalam lawatan itu, Mohd Radzi mengadakan tinjauan ke enam sekolah sekitar Ipoh antaranya SK Pakatan Jaya, SK Seri Tanjung dan SK Syed Idrus di Ulu Kinta, Perak. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram