IBARAT sudah menjadi kelaziman sebenarnya bagi golongan usahawan muda untuk mempamerkan kemewahan di media sosial atas alasan untuk publisiti.
Tidak menuduh semua usahawan muda begitu, tetapi sikap segelintir usahawan muda itu yang membuatkan ramai mula bersikap jelik dengan mereka.
Turut menyuarakan pendapat sama ialah Pengarah Urusan Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin yang beranggapan bahawa usahawan perlu berfikir di luar kotak supaya setiap yang dilakukan memberi manfaat kepada masyarakat.
"Saya sudah 32 tahun dalam dunia perniagaan dan berapa ramai usahawan muda yang berjaya akhirnya kecundang dan hilang begitu sahaja.
"Saya tahu apa yang dilakukan itu adalah publisiti tetapi bukankah lebih baik kalau rezeki yang ada itu dikongsi bersama dengan mereka yang memerlukan," katanya kepada Majoriti.
Menurut Mazlina, bukan semua usahawan muda bersikap demikian dan ada juga yang cuba membantu dengan membina masjid dan sebagainya tetapi apakah impak kepada masyarakat.
Disebabkan itu katanya, beliau lebih gemar jika usahawan muda yang mempunyai keuntungan besar supaya menggunakan wang yang ada untuk memberi semula kepada orang yang memerlukan.
"Sebab itu saya menyeru kepada semua usahawan muda yang memiliki keuntungan besar supaya sentiasa menjadikan perniagaan sebagai satu cara untuk memberi kepada masyarakat.
"Malah, kewujudan Rumah Makan Percuma juga adalah sebagai cara untuk saya membetulkan kembali anak-anak muda yang berniaga tetapi dalam masa sama tidak bermewah-mewah," katanya.
Usahakan Rumah Makan Percuma
Ditanya mengenai kewujudan Rumah Makan Percuma di Simpang Empat, Kedah, menurut Mazlina, kedai tu sudah beroperasi sejak 2020.
Katanya, idea untuk membuatkan Rumah Makan Percuma adalah kerana pengalamannya ketika mengerjakan umrah di mana beliau menyaksikan sendiri para jemaah berebut-rebut nak memberi makan kepada orang ramai.
"Jadi, idea itu saya ambil dan lakukan di Simpang Empat dan kini kami memberikan makanan percuma kepada kira-kira 400 orang setiap hari.
"Sejak tular baru-baru ini, ramai yang ingin memberikan bantuan dalam bentuk kewangan tetapi bagi saya lebih baik beri dalam bentu barangan basah.
"Lagipun buat masa ini memang kita ada rancang untuk tingkatkan jumlah makanan itu daripada 400 orang kepada 1,000 orang," katanya.
Menurut Mazlina lagi, Kedai Makan Percuma itu terbuka kepada semua sama ada yang susah ataupun yang mahu datang untuk menikmati juadah tersebut.
Ditanya sama ada beliau mahu mengembangkan bentuk bantuan itu kepada kawasan tumpuan seperti di Kuala Lumpur, katanya, hasrat itu memang ada sejak dulu lagi.
"Memang ada hasrat untuk ke arah itu tetapi kena tengok pada sumber kewangan kami juga sebab kita pun tidak mahu bergantung kepada sumbangan orang ramai.
"Lebih baik kami lakukan dengan sumber kewangan sendiri supaya ia konsisten dan sesiapa yang ingin salurkan bantuan selepas itu juga kami terima," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram