'Modal RM750, berhenti kerja 24 jam,' Anak jati Tumpat ini kini miliki empayar makanan


MOHD Assraf sentiasa meletakkan tanda aras baharu yang lebih tinggi selepas mencapai matlamat sebelumnya.

AWALNYA ia sekadar bidang terjun, usahawan muda, Mohd Assraf Maidin Koti, 29 nekad berhenti dengan notis 24 jam daripada kerja tetap sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Dia kemudian terus menguruskan kafe di sebuah universiti tempatan yang diambil alih daripada kenalan dengan modal perniagaan hanya RM750 pada 2017.

Bermula dari situ, Mohd Assraf menempuhi jatuh bangun dunia perniagaan dan belajar daripada sifar tentang bagaimana untuk menguruskan kedai makan.

"Ketika itu saya tidak berfikir apa-apa, walaupun saya tidak mempunyai ilmu, saya berpegang pada impian, semangat dan keberanian.

"Saya belajar seiring waktu, daripada pengalaman, rakan-rakan dan orang lebih berpengalaman sehingga saya berjaya dan mampu mengembangkan perniagaan kepada beberapa restoran lain sekitar Lembah Klang," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, bermula dengan kafe Kak Lah Kepala Ikan Merah dia kini memiliki tiga restoran lain iaitu, Doctor Cafe, Pewira Cafe dan Westplate Factory di bawah syarikat AMK Group.

Katanya kejayaan yang diperoleh bukan datang bergolek, tetapi perlu diraih dengan keyakinan, kesungguhan dan berani menanggung risiko.

"Dalam berniaga saya melihat risiko sebagai satu cabaran, bukan tidak pernah rugi tetapi saya percaya setiap cabaran ada penyelesaian.

"Pada masa sama saya sentiasa belaja, mencari ilmu untuk mengukuhkan lagi pengetahuan dalam perniagaan," ujarnya.

Katanya lagi, dia juga sentiasa meletakkan tanda aras baharu yang lebih tinggi selepas mencapai matlamat sebelumnya.

Jelasnya, selepas memiliki beberapa kafe dan restoran, anak jati kelahiran Pengkalan Kubu, Tumpat, Kelantan itu kini dalam perancangan untuk mengeluarkan produk makanan sendiri dibawah label Kak Lah Recipe.

"Kami dalam proses penyelidikan dan pembangunan produk makanan sejuk beku untuk pasaran tempatan.

"Saya menyasarkan produk saya boleh setanding jenama besar diluar sana dan ditempatkan di rak-rak pasaraya seluruh Malaysia," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram