MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner, yang beliau menghadiri mesyuarat mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada tahun 2009.
Leissner yang merupakan saksi dalam perbicaraan itu menceritakan kepada Mahkamah Persekutuan di New York tentang satu mesyuarat peringkat tinggi mengenai TIA yang kemudiannya menjadi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
"Merujuk kepada artikel sebuah portal berkenaan testimoni Leissner dalam perbicaraan di Amerika Syarikat, saya ingin mengesahkan bahawa saya tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat mengenai TIA pada tahun 2009 bersama DYMM Sultan Terengganu dan individu-individu lain yang disebut dalam kenyataan tersebut.
Tengku Zafrul berkata demikian dalam satu catatan ringkas di laman Facebook beliau pada Khamis.
Portal tersebut melaporkan bahawa nama Tengku Zafrul telah disebut dalam testimoni Leissner pada perbicaraan seorang lagi bekas pengurus bank itu, Roger Ng berkaitan 1MDB yang sedang berjalan di Amerika Syarikat.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat FMT, Leissner mengambil maklum satu emel daripada Ng berhubung satu mesyuarat TIA pada 2009.
Dalam emel itu, Ng memaklumkan selain dirinya individu lain yang akan menyertai mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho (Jho Low); Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank, Ramli Ismail dan Tengku Zafrul, yang ketika itu merupakan pengarah di Kenanga, kata laporan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
