BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menerima maklumat sekumpulan pendatang tanpa izin warga Myanmar sedang bersembunyi dan bersedia untuk memasuki negara menerusi ‘laluan tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand.
Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, maklumat tersebut diperoleh daripada pihak berkuasa negara jiran dan disifatkan sesuatu yang boleh dipercayai.
"Beberapa minggu lepas kita mendapat maklumat yang mengatakan ada warga Myanmar telah ‘berkampung’ di negara jiran khususnya di pekan Sungai Golok dan bersiap bersedia untuk masuk ke Malaysia.
"Dikatakan sindiket yang mengendalikan kemasukan mereka sudah terlalu lama menyimpan pendatang tersebut dan terpaksa menghantar mereka ke Malaysia secepat mungkin kerana tidak sanggup menyediakan kos sekiranya mereka masih berada di sempadan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Taktikal (Martek) PGA Lubok Setol, di Pasir Mas pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mat Shukor berkata, berikutan maklumat terbaharu itu, pihaknya percaya selepas ini lebih ramai pendatang warga Myanmar akan memasuki negara dalam kumpulan yang kecil namun lebih kerap.
"Dalam kejadian terbaharu pukul 6.20 petang Rabu, seramai 13 pendatang Myanmar termasuk dua perempuan berusia 20 hingga 40-an telah ditahan dalam serbuan di Kampung Bakong.
"Mereka disyaki baru sahaja memasuki negara ini melalui laluan tikus sebelum ditemukan bersembunyi di dalam semak. Pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya.
Beliau berkata, kesemua pendatang tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/1963.
Katanya, sejak 16 Februari hingga 17 Mac 2022, PGA8 menahan seramai 49 lelaki, sembilan wanita, serta seorang kanak-kanak lelaki pendatang tanpa izin warga Myanmar. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram