Kanak-kanak positif Covid-19 berisiko hidap diabetes


  • Sihat
  • Rabu, 16 Mac 2022

SETAKAT 9 Mac lalu, kira-kira sejuta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah divaksin daripada 1.63 juta janji temu yang dijadualkan. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

SEJAK kes pertama Covid-19 dikesan di Wuhan, China pada penghujung 2019, lebih enam juta maut akibat virus itu yang hingga kini menjangkiti sekitar 455 juta penduduk dunia dengan 3.77 juta orang adalah di Malaysia termasuk lebih 33,800 daripadanya meninggal dunia.

Dalam kalangan yang pulih pula, ada yang mengalami kesan Long Covid yang berterusan antara tiga hingga enam bulan selepas sembuh dan antara gejala yang dialami ialah cepat letih dan mengalami masalah tidur.

Hingga kini, pelbagai kajian masih dijalankan oleh saintis serta penyelidik termasuk bagi mengenal pasti kesan Covid-19 terhadap mereka yang dijangkiti.

Terbaharu pada 7 Januari lepas, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengeluarkan hasil kajiannya yang mendapati berlaku peningkatan kes diabetes yang ketara dalam kalangan golongan berusia 18 tahun ke bawah.

Kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik CDC diketuai oleh Dr Sharon Saydah itu turut menemukan risiko diabetes adalah 166 peratus lebih tinggi dalam kumpulan yang pernah dijangkiti virus tersebut berbanding mereka yang tidak dijangkiti serta 116 peratus lebih tinggi berbanding kumpulan yang menghidap jangkitan virus respiratori akut prapandemik.

Jurnal perubatan Diabetes Care pada 2020 juga melaporkan peningkatan diabetes jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak semasa penularan pandemik memuncak di United Kingdom.

Laporan tersebut harus dipandang serius oleh mereka yang berkenaan di negara ini memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kemasukan ke unit rawatan rapi pediatrik (PICU) akibat jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Dalam perkongsian menerusi laman Facebook rasmi KKM pada 12 Mac lepas, dilaporkan kemasukan ke PICU meningkat 94 peratus secara keseluruhan bagi jangkitan Covid-19 kategori empat dan lima.

Menurut KKM, paling ketara adalah kategori empat yang merekodkan peningkatan 200 peratus sementara kategori lima 125 peratus. Ini disebabkan kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah belum mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Sementara itu, menurut pakar, memang wujud kebimbangan tentang peningkatan diabetes jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia dewasa ini sekalipun kadarnya masih rendah berbanding negara-negara Scandinavia dan kawasan beriklim sederhana.

“Namun secara kasarnya, rata-rata pakar pediatrik endokrinologi kanak-kanak dalam negara ini menyatakan kebimbangan mereka kerana didapati lebih ramai kanak-kanak didiagnosis sebagai penghidap diabetes semasa pandemik Covid-19 berbanding sebelum pandemik,” kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi dan Diabetes, Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Yazid yang juga Timbalan Dekan Ijazah Dasar, Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu berkata, bagaimanapun pakar belum dapat memastikan sama ada peningkatan tersebut disebabkan oleh Covid-19 kerana tidak semua pesakit diabetes diuji untuk jangkitan tersebut.

“Namun melihat pada trend semasa di luar negara, tidak mustahil boleh terjadinya peningkatan kes diabetes dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia,” ujarnya

Kaitan Covid dan diabetes

Menjelaskan kaitan di antara Covid-19 dan diabetes, Dr Muhammad Yazid berkata, keadaan itu berlaku akibat serangan secara terus ke atas sel pankreas yang mempunyai reseptor angiotensin converting enzime 2 (ACE2) dan boleh menyebabkan kemusnahan sel-sel beta pada pankreas yang menghasilkan insulin.

Selain itu katanya, peningkatan paras gula juga boleh berlaku akibat tindak balas sistem imun yang teruk terhadap jangkitan (cytokine storm), perubahan metabolisme gula akibat jangkitan ataupun akibat perubahan daripada pradiabetes kepada diabetes.

Menurut Dr Muhammad Yazid, rawatan Covid-19 menggunakan steroid juga boleh meningkatkan paras gula namun risiko kenaikan paras gula itu biasanya bersifat sementara.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan diabetes semasa pandemik disebabkan pertambahan berat badan ekoran pengambilan makanan yang tidak terkawal kerana lebih ramai memilih duduk di rumah bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

Pemvaksinan

Mengambil kira laporan CDC itu dan keadaan semasa negara, beliau berkata, disebabkan masih banyak yang belum diketahui tentang Covid-19, sebaiknya langkah pencegahan diambil oleh semua peringkat usia termasuk memastikan diri divaksinasi.

Kajian CDC itu katanya, menguatkan lagi kepentingan pemvaksinan Covid-19 khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan mereka yang berisiko dijangkiti virus maut tersebut.

"Mesej kesihatan awam yang mengetengahkan risiko akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sangatlah penting dan perlu dijalankan secara berkala. Mesej ini penting sebagai pemberitahuan kepada pengamal perubatan dan juga ibu bapa berkenaan kemungkinan berlakunya penyakit lain seperti diabetes akibat jangkitan Covid-19.

"Agensi kesihatan dan pengamal perubatan juga perlu cakna dengan kesan jangka panjang akibat Covid-19 dan perlu memantau pesakit secara berkala bagi mengesan sekiranya mereka mendapat diabetes,” katanya.

Dr Muhammad Yazid seterusnya mencadangkan agar golongan berusia 18 tahun ke bawah yang pernah dijangkiti Covid-19 melakukan ujian mengesan diabetes dan penyakit lain yang berkemungkinan.

Katanya, gejala-gejala yang perlu diberi perhatian termasuk kerap membuang air kecil, peningkatan dahaga, peningkatan rasa lapar, keletihan yang melampau, sakit perut, loya atau muntah.

Yakini keberkesanan vaksin

Sementara itu, Pakar Pediatrik dan Pediatrik Kardiologi Hospital Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, pada masa ini masih ramai ibu bapa yang takut dan kurang yakin dengan keberkesanan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak.

"Kebanyakan kegusaran itu adalah tentang kesan sampingan vaksin yang dibangunkan dengan teknologi mRNA tersebut ke atas jantung atau miokarditis," katanya.

Untuk rekod, buat masa ini kerajaan hanya meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang dibangunkan dengan teknologi mRNA bagi program pemvaksinan Covid-19 untuk kelompok usia lima hingga 11 tahun.

Mengulas perkara itu, Dr Zulkifli berkata, miokarditis atau radang jantung mungkin boleh berlaku dalam kalangan remaja dan lelaki dewasa.

“Namun jika kita lihat data dari Amerika Syarikat, bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah diberi vaksin berjumlah 8.7 juta dos, terdapat hanya 11 kes radang jantung. Kesemuanya tidak serius dan boleh pulang ke rumah masing-masing setelah dua hingga tiga hari. Tiada kematian direkodkan setakat ini,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam konteks ini, pengambilan vaksin itu bertujuan mencegah jangkitan yang teruk termasuk kesan long Covid dan komplikasi Sindrom Keradangan Multisistem dalam Kanak-Kanak atau MIS-C.

“Apatah lagi jika betul adanya kaitan yang kuat di antara Covid-19 dengan penyakit diabetes seperti yang dilaporkan CDC, maka ini menjadi satu lagi sebab penting untuk ibu bapa membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin,” tegasnya.

Setakat 9 Mac lepas, kira-kira sejuta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah divaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) daripada 1.63 juta janji temu yang dijadualkan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sihat, covid-19, kanak-kanak, diabetes, long covid