SOP VTL Udara Malaysia-Thailand, Vietnam dan Kemboja diseragamkan


  • Primer
  • Selasa, 15 Mac 2022

PENYERAGAMAN SOP itu antara lain bagi memudahkan aspek penguatkuasaan di lapangan terbang. — Gambar hiasan/The Star

PROSEDUR operasi standard (SOP) kesihatan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan pengangkutan udara antara Malaysia dengan Singapura, Thailand dan Kemboja diseragamkan serta dilaksanakan berasaskan kaedah test and release, berkuat kuasa Rabu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, menerusi kaedah itu, pengembara tidak perlu menunggu keputusan ujian Covid-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau berkata, pengembara hanya perlu menjalani pengambilan calitan ujian Covid-19 semasa ketibaan dan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke tempat penginapan masing-masing sepertimana yang diisytiharkan dalam aplikasi MySejahtera Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dengan menaiki kenderaan pengangkutan persendirian, teksi atau kereta sewa persendirian.

"Pengembara seterusnya perlu mengasingkan diri sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 yang akan diperolehi dalam tempoh 24 jam.

"Setelah keputusan negatif diperoleh, pengembara dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ka Siong berkata, sekiranya keputusan positif diperoleh, pengembara tersebut akan mengikuti protokol kesihatan sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, Kementerian Pengangkutan melaksanakan penyeragaman SOP kesihatan berdasarkan kepada penilaian risiko semasa dan persetujuan oleh KKM.

"Penyeragaman ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengembara VTL melalui pengangkutan udara yang memasuki Malaysia dan memudahkan aspek penguatkuasaan di lapangan terbang,” katanya.

Butiran lanjut mengenai syarat prapelepasan dan kemasukan ke Malaysia yang telah dikemas kini boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen www.imi.gov.my.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram