PORTAL yang semakin menawan hati masyarakat, Majoriti berkolaborasi bersama Grab Malaysia dalam usaha menawarkan kandungan menarik dan faedah eksklusif kepada kedua-dua pengguna dan komuniti rakan kongsi pemandu dan penghantaran.
Ketua Produk Majoriti, Chung Eng Lee berkata, Grab yang terkenal sebagai aplikasi harian telah menjadi begitu sebati dengan gaya hidup rakyat Malaysia.
"Daripada pemanduan dan penghantaran kepada pelbagai tawaran menarik, Grab merupakan contoh dalam memenuhi setiap keperluan pengguna di seluruh negara," katanya.
"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan mereka. Sama seperti mereka memperluaskan servis untuk kemudahan pengguna, kami berharap kadar langganan eksklusif Majoriti dengan hanya kadar RM10 setahun akan memberi manfaat kepada pembaca dan pengguna kami," katanya.
Eng Lee menambah, dengan manifesto Majoriti yang menyediakan berita dan pandangan yang tidak berat sebelah kepada orang ramai, perkongsian itu akan membolehkan pembaca mendapat berita mengikut keselesaan ketika mereka menjalani rutin harian mereka, di mana jua dan pada bila-bila masa.
"Sementara pengguna menikmati pelbagai tawaran dan perkhidmatan yang ditawarkan Grab, kami berharap dapat membawa berita paling relevan dan terkini hanya di hujung jari mereka," katanya.
Ketua Komersial dan Perkongsian untuk Grab Malaysia, JJ Tan berkata, sebagai penyokong ekonomi digital, pihaknya yakin kemampuan bekerja secara fleksibel serta akses kepada pengetahuan adalah perkara penting untuk membuka peluang ekonomi.
"Kami ingin menyediakan rakan kongsi pemandu dan penghantaran kami dengan akses maklumat yang boleh memberi mereka kuasa untuk membuat pilihan lebih termaklum.
"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Majoriti untuk menyediakan komuniti pemandu dan rakan kongsi penghantaran kami dengan akses kepada kandungan terkini dan relavan," katanya.
Langganan Majoriti boleh didapati melalui GrabBenefit, program holistik yang bertujuan menjaga kebajikan dan mata pencarian rakan kongsi Grab.
Ia ditubuhkan untuk memenuhi pelbagai jenis keperluan terutamanya perlindungan, penjimatan kos di jalan raya dan peningkatan kemahiran melalui akademi.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu rakan kongsi di platform Grab.
Majoriti mula bekerjasama dengan kepelbagaian rakan kongsi untuk mengembangkan tawaran masing-masing.
Rakan kongsi sedia ada termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), AEON Co (M) Bhd, Malaysia Airlines Bhd, Secret Recipe Cakes and Café Sdn Bhd, Yoodo, Petronas Dagangan Berhad, Samsonite (M) Sdn Bhd, hotel-hotel di bawah IOI Properties Group Berhad dan lain-lain yang akan diumumkan kelak.
Orang ramai boleh melayari majoriti.com.my untuk melanggan atau mengetahui lebih lanjut mengenai Majoriti. — Majoriti