Wanita dikompaun RM1,000, turun undi walaupun positif Covid-19


  • 112
  • Sabtu, 12 Mac 2022

WANITA itu didapati positif Covid-19 kategori 2. — The Star
SEORANG wanita dikenakan kompaun RM1,000 kerana hadir untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam keadaan positif Covid-19 pada Sabtu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNK), Datuk Dr Aman Rabu berkata, notis kompaun itu dikeluarkan Pegawai Penguat Kuasa JKNJ kira-kira pukul 11.45 pagi di pusat mengundi Dewan Kampung Melayu, Johor.

“Notis dikeluarkan atas kesalahan pengundi berkenaan hadir ke tempat mengundi yang mana siasatan awal mendapati wanita tersebut positif Covid-19 kategori dua.

“Adalah diingatkan bahawa individu-individu positif adalah dilarang untuk keluar dari tempat isolasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Aman berkata, kegagalan mematuhi arahan ini boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundi yang berstatus pesakit sedang disiasat (PUI) atau yang sedang dalam pemantauan (PUS) diberi kebenaran mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tambahnya, kebenaran itu adalah bersyarat yang mana proses pembuangan undi untuk individu yang bergejala akan dijalankan di khemah khas serta dipantau oleh pegawai kesihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, positif, prn, johor, keputusan