CALON kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz menyeru semua rakyat Johor untuk memanfaatkan dua jam terakhir untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.
Menerusi satu ciapan di Twitter, Amira Aisya, 27, berkata, peluang untuk mengundi itu hanya datang sekali dalam lima tahun.
"Masih ada masa lagi untuk mengundi. Semua rakyat Johor, peluang ini ada sekali sahaja dalam lima tahun.
"Dua jam sahaja lagi. Jom semua!," tulisnya.
Menerusi ciapan berbeza, Amira Aisya berkata, proses mengundi adalah cepat, selamat dan sistematik.
"Bawa kad pengenalan sahaja dan anda boleh terus mengundi," katanya.
TANGKAP layar ciapan Amira Aisya di Twitter.
Dia turut berbangga dengan rata-rata rakyat di DUN Puteri Wangsa kerana ramai orang muda khususnya yang keluar mengundi.
"Saya amat berbangga dengan pengundi muda. Jom semua orang muda, kita gegarkan PRN Johor!," katanya.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian pada Sabtu dan setakat pukul 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan sebanyak 50 peratus pengundi telah keluar mengundi.
Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 239 calon daripada 15 parti politik bertanding. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram