Peratusan mengundi PRN Johor rendah mungkin tanda rakyat protes — Shafie Apdal


  • Politik
  • Sabtu, 12 Mac 2022

SEBANYAK 46 peratus rakyat Johor telah keluar mengundi setakat 3 petang Sabtu. — Gambar hiasan

PERATUS keluar mengundi yang tidak mencapai sasaran bakal menjadikan kerajaan negeri yang akan dibentuk di Johor sebagai kerajaan minoriti.

Pengerusi Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah itu jelas membimbangkan.

Katanya, mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), statistik keluar mengundi sehingga pukul 1 petang pada Sabtu hanya 35 peratus.

"Andai peratus keluar mengundi hanya 30 hingga 35 peratus, ia boleh menjadikan kerajaan Johor sebagai kerajaan minoriti.

"Pengundi tidak hadir (keluar mengundi) mungkin bimbang Covid-19 atau tanda protes", katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas di Pontian, Johor pada Sabtu.

Turut bersama dalam tinjauan itu, calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Hishamudin Busri.

Tambah Ahli Parlimen Semporna itu, keadaan tersebut akan mengakibatkan demokrasi tergugat kerana rakyat menolaknya.

"Diharap lepas ini tiada lagi PRN (Pilihan Raya Negeri) kerana menyusahkan rakyat serta kos yang banyak," ujarnya.

SPR memaklumkan, sebanyak 46 peratus telah keluar mengundi setakat 3 petang Sabtu. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram