Balai Raya Pulau Besar, pusat mengundi PRN Johor pertama ditutup


  • Berita
  • Sabtu, 12 Mac 2022

BALAI Raya Pulau Besar dibuka untuk proses pengundian selama tiga jam bermula 8 pagi. — Bernama

BALAI Raya Pulau Besar di Mersing, Johor ditutup pada pukul 11 pagi, menjadi pusat mengundi pertama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ditutup pada Sabtu.

Pusat mengundi yang mempunyai satu saluran bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan mempunyai 34 pengundi yang layak mengundi itu dibuka untuk proses pengundian selama tiga jam bermula 8 pagi.

Setakat pukul 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan sebanyak 22 peratus pengundi telah keluar mengundi.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak turut meninjau beberapa pusat mengundi termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya 2 di DUN Skudai dan Dewan Hassan Abdullah di DUN Perling bagi melihat kelancaran proses pengundian hari ini.

Di Muar, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyasarkan jumlah yang keluar mengundi hari ini, mencecah antara 70 hingga 80 peratus berdasarkan trend dan pergerakan rakyat Johor dari luar negeri yang pulang mengundi.

Bekas perdana menteri itu berkata, peratusan mengundi yang tinggi adalah penting bagi mencerminkan kehendak realiti rakyat Johor terhadap kerajaan yang akan dibentuk.

"Kalau peratusan jumlah pengundi itu agak rendah, ia tidak akan mencerminkan realiti kehendak rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan dan sebuah kerajaan yang baharu.

"Saya harap mereka yang ada dalam daftar pemilih, keluarlah beramai-ramai untuk mengundi," katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar bagi DUN Maharani.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian hari ini.

Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPR, PRN Johor, hari mengundi, keputusan