Polis mulakan bedah siasat suami isteri maut direnjat elektrik di Cameron Highlands


  • 112
  • Sabtu, 12 Mac 2022

KEPUTUSAN bedah siasat dijangka akan diketahui dalam masa terdekat. — The Star

PROSES bedah siasat ke atas pasangan suami isteri yang maut dipercayai terkena renjatan arus elektrik di Cameron Highlands, Pahang pada Khamis, bermula pada Sabtu bagi mencari punca sebenar kematian, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Supritendan, Mohd Shamsuri Mohd Nor.

Beliau berkata, proses bedah siasat tersebut dilakukan di Hospital Sultan Hajjah Kalsom, Tanah Rata pagi Sabtu dan keputusannya bakal diperoleh dalam masa terdekat.

"Kami jangkakan dalam masa terdekat, kami akan mendapat keputusan bedah siasat. Selepas selesai, baru kami akan serahkan mayat kepada waris,” katanya.

Pada Khamis, pasangan suami isteri itu ditemukan meninggal dunia dalam bilik air di rumah mereka di Taman Puncak Tringkap di Cameron Highlands, Pahang dipercayai terkena renjatan arus elektrik.

Tiga anak pasangan itu berusia lingkungan dua hingga 10 tahun yang turut berada di kediaman itu ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menyentuh mengenai nasib tiga anak pasangan tersebut, Mohd Shamsuri berkata, waris ahli keluarga dari Pulau Pinang dan Sarawak telah dimaklumkan berkaitan urusan hak penjagaan mereka.

Menurutnya, hal tersebut juga mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemantauan dan pengurusan hal kebajikan sementara menunggu proses lengkap hak penjagaan tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram