"ANAK saya layak mengundi, jadi tugas saya untuk bawa dia tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Johor,” itu kata-kata semangat seorang bapa yang membawa anaknya Orang Kurang Upaya (OKU) hadir mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.
Sanusi Idris, 58, berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawabnya dan membawa keluarga keluar mengundi walaupun anaknya Mohamad Aidil Sanusi, 25, mengalami kesukaran untuk berjalan.
Sanusi berkata, anaknya itu mengalami masalah fizikal sejak dilahirkan.
Beliau memaklumkan, kebenaran untuk anaknya mengundi telah disahkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di pusat pengundian berkenaan.
"Mereka KKM benarkan anak saya mengundi...jadi saya bawa dia masuk untuk bantu dia membuat pilihan ketika mengundi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Bandan di Batu Pahat, Johor pada Sabtu.
Sanusi berkata, peluang untuk memilih wakil rakyat DUN Semarang akan digunakan sebaik mungkin dalam memastikan kebajikan rakyat setempat dijaga.
"Anak saya pertama kali mengundi hari ini, saya yang menjaganya, walaupun sedikit sukar untuk membawanya, tapi tetap menjadi tanggungjawab untuk pastikan DUN ini dapat wakil rakyat terbaik,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut membawa ibunya Musiah Usop, 85, yang turut mempunyai masalah sukar berjalan kerana sakit tua.
Sanusi dan keluarganya merupakan antara 1,567 pengundi berdaftar di pusat mengundi itu.
Turut hadir di pusat pengundian berkenaan adalah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Samsolbari Jamali bersama isteri, ibu dan ahli keluarganya untuk mengundi. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram