Pemilik, pengunjung premis hiburan KL dikompaun RM70,000


  • 112
  • Jumaat, 11 Mac 2022

SERBUAN dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis dari JPJKK Kuala Lumpur di dua buah pusat hiburan di ibu kota pada Khamis. — Sinar Harian

POLIS mengenakan kompaun berjumlah RM70,000 kepada 68 pengunjung dan dua pemilik premis hiburan di sekitar ibu kota, tengah malam Khamis.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kompaun RM1,000 kepada 11 pengunjung di premis pertama dan kompaun dengan kadar yang sama kepada 57 pengunjung di premis kedua.

Selain itu, kompaun masing-masing RM1,000 dikenakan terhadap dua pemilik premis hiburan itu.

Beliau berkata, hasil serbuan mendapati pusat hiburan berkenaan telah beroperasi dengan melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan.

"Sejak 1 Januari lepas hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur mengeluarkan 521 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM521,000 terhadap pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu kota.

"Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan kerajaan dan orang ramai adalah dinasihat untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azman berkata, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kompaun, JPJKK, premis hiburan, polis, langgar, SOP