Semakan tawaran ke sekolah khusus mulai 15 Mac


  • Primer
  • Khamis, 10 Mac 2022

RADZI berkata, tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan SBP, SMKA, SMT, KV dan MTD.

SEMAKAN tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus Tahun 2022 boleh dibuat Selasa depan (15 Mac).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my untuk kemasukan ke Tingkatan Empat serta Tahun 1 SVM.

"Pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Satu di SBP dan SMKA ditetapkan pada 21 hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Empat di SBP dan SMKA juga pada 21 hingga 25 Mac manakala pendaftaran secara fizikal pada 5 April.

"Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat dan Tahun 1 SVM di SMT dan KV pula pada 7 April.

"Pendaftaran bagi murid baharu Tingkatan Empat ke MTD pula akan dimaklumkan melalui laman web http://www.rmc-education.edu.my," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram