
HANYA kerana memasak di awal pagi, seorang wanita mengalami kecederaan selepas ditampar oleh rakan serumahnya yang menganggap perbuatan itu telah menganggu waktu tidurnya.
Vestene Wong menerusi perkongsian di Facebook miliknya berkata, kejadian berlaku pada Ahad lalu di rumah sewanya yang diduduki bersama tiga lagi penyewa lain.
Menurut Vestene, dia sebelum itu memasak pada pukul 5 pagi untuk menyediakan makanan kerana sudah merancang untuk mendaki bukit bersama rakan-rakannya.
"Namun, tidak sampai 10 minit saya di dapur, seorang rakan penyewa di tingkat bawah rumah dua tingkat telah bertindak melempang dan memaki hamun saya.
"Alasannya adalah kerana saya mengganggu waktu tidurnya dan dia mempersoalkan mengapa saya tidak memasak di ruang tamu.
"Saya sangka perkara itu adalah biasa kerana ruang dapur adalah kegunaan bersama. Saya juga menghubungi tuan rumah dan dimaklumkan bahawa tiada masa tertentu yang ditetapkan untuk menggunakan dapur," katanya.
Vestene kemudian memberitahu yang dia akan membuat laporan polis dan rakan penyewa itu pula membalas yang dia akan menyamannya kerana dia menghidap penyakit anxiety.
Namun, ketika tiba di balai polis, wanita itu gagal mengemukakan bukti yang menunjukkan dia mempunyai anxiety.
"Dia hanya membawa pil ubat anxiety yang tidak mempunyai label dan gagal mempamerkan kad yang mengesahkannya sebagai pesakit mental seperti yang diminta polis.
"Malah, dia berkata yang penyakit anxiety itu berada di tahap rendah yang tidak memerlukan dia untuk memiliki sebarang kad pesakit mental," dakwanya.
Polis itu kemudian meminta wanita itu meminta maaf tetapi menurut Vestene, wanita itu akur namun meminta maaf dengan cara tidak ikhlas dan menganggap saya tidak bertolak ansur kerana tindakan memasak itu.
Tambah Vestene, dia sebenarnya sudah memaklumkan kepada wanita itu pada malam sebelumnya untuk memasak.
'Wanita itu yang perlu tahu perkara itu kerana dia sendiri yang memilih untuk menyewa ruangan bilik di bahagian dapur.
"Buat masa sekarang, ini adalah bulan terakhir saya menyewa di sini dan saya masih risau jika dia mengambil tindakan untuk mencederakan saya selepas ini," katanya.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan respons balas rakan serumah mangsa berhubung tindakannya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram