SEORANG warga emas maut selepas kereta dipandunya terjunam dari jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana di Melaka, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superitendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa, Tan Chin Chee, 76, cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang menghala ke Melaka Raya hilang kawalan menyebabkan kereta Toyota Vios dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum terjatuh dari jambatan itu.
"Dianggarkan ketinggian jambatan Jalan Syed Abdul Aziz ke jalan raya adalah kira-kira 15 meter,” katanya ketika dihubungi pemberita di Melaka pada Rabu.
Hasan berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.26 pagi dan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram