Ismail Sabri sah sempadan negara dibuka semula


  • Primer
  • Sabtu, 05 Mac 2022

PERDANA Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu depan. — The Star

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.

Tambahnya, bagi membolehkan pergerakan keluar masuk antara Brunei dan Thailand, kerajaan juga sedang dalam proses melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat bersama kedua-dua negara.

Berucap merasmikan pelancaran siri pertama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di Johor Bahru, Johor, Ismail Sabri berkata, langkah itu sebagai menambah laluan VTL sedia ada melibatkan Singapura dan Indonesia yang masih dalam perancangan.

"Bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pelancongan khususnya di Johor, kerajaan Persekutuan melaksanakan skim VTL udara dan darat dengan Singapura mulai 21 Januari lepas bagi memudahkan urusan pertemuan semula keluarga yang terpisah akibat pandemik Covid-19.

"Saya difahamkan seramai 200,000 rakyat Malaysia berulang-alik antara Singapura dan Johor. Mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di rumah kerana telah melaksanakan ujian saringan kesihatan sebanyak dua kali iaitu semasa bertolak dari negara luar dan semasa ketibaan di Malaysia,” katanya.

Media pada Sabtu melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, Perdana Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu depan.

Menurut Khairy, mesyuarat Kabinet pada Jumaat sudah mencapai kata sepakat mengenai pembukaan sempadan negara dan kini menunggu hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ismail Sabri, sempadan, pembukaan, AKM, VTL