Takaful Ikhlas tawar khidmat 'towing' percuma mangsa banjir


  • Bizz
  • Jumaat, 04 Mac 2022

BANJIR dahsyat yang berlaku di negara pada tahun lalu menyebabkan rakyat mengalami kerugian terutamanya melibatkan tempat tinggal dan kenderaan. — The Star

SYARIKAT Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd menawarkan manfaat penundaan kenderaan akibat banjir secara percuma kepada pelanggan yang melanggan pelan perlindungan motor 'IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful' dan 'IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful'.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, Takaful Ikhlas berkata, perkhidmatan tundaan percuma itu adalah manfaat tambahan kepada '24-Hour Bantuan IKHLAS Road Assist' iaitu perkhidmatan yang diberikan secara automatik kepada pemegang sijil 'IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful' dan 'IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful'.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Takaful Ikhlas, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keperluan pelanggan terutamanya dalam menghadapi waktu kritikal seperti musim banjir yang menyaksikan ramai rakyat negara ini terkesan seperti apa yang berlaku tahun lalu.

"Justeru, mulai akhir Januari lepas, Takaful Ikhlas turut menawarkan khidmat tundaan percuma akibat banjir kepada pemegang sijil pelan perlindungan motor kami iaitu IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful dan IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful,” ujarnya.

Tambah Rudy Rodzilla, Takaful Ikhlas baru-baru ini memperkenalkan platform maya Virtual Interactive Process (VIP) untuk membantu mempercepatkan proses tuntutan kepada 300,000 pesertanya.

"Melalui VIP, tuntutan berkaitan kerosakan dan kemusnahan harta benda serta kenderaan tidak melebihi RM10,000 boleh diproses di platform maya itu, sekali gus membolehkan pelanggan untuk menerima bayaran tuntutan dalam masa tiga hari.

"Sehingga 20 Februari lalu, sebanyak 3,669 kes tuntutan berjaya diselesaikan dengan jumlah tanggungan tuntutan sebanyak RM30 juta.

"Ini sejajar dengan aspirasi syarikat yang berazam meringankan beban peserta yang ditimpa musibah dan membantu mereka bangkit semula secepat yang mungkin,” jelasnya.

Bagi mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan '24-Hour Bantuan IKHLAS Road Assist', pelanggan boleh melayari laman web www.takaful-ikhlas.com.my atau menghubungi mana-mana ejen takaful am Takaful Ikhlas atau berkunjung ke cawangan Takaful Ikhlas berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram