Apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat — Khairuddin


  • Politik
  • Ahad, 06 Mac 2022

TANGKAP layar video majlis dihadiri pemimpin PN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru, Johor pada Sabtu. — Facebook

MAJLIS tarian ala bogel tidak selayaknya menjadi hidangan kepada pemimpin politik Muslim di negara ini meskipun penganjurnya bukan Muslim.

Teguran itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Jelasnya, penganjuran majlis seumpama itu bercanggah dengan nilai ketimuran dan nilai masyarakat negara ini.

"Di saat rakyat berdepan dengan musibah dan di saat rakyat diajak untuk bermunajat, memohon keampunan kepada ALLAH agar dilepaskan daripada musibah Covid-19, apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat," katanya.

Tambah Mohd Khairuddin, pihak yang terbabit perlu segera tampil membuat permohonan maaf rasmi kepada rakyat.

"Permohonan maaf perlu dibuat kerana ia juga menjejaskan nama rakan kerjasama politik, di saat kempen pilihan raya sedang hangat.

"Pahit tetapi teguran perlu dibuat agar masyarakat dapat menilai prinsip Perikatan Nasional (PN) yang jelas berkaitan Islam," ujarnya.

Pada Sabtu, tular satu video di media sosial menunjukkan beberapa wanita berpakaian seksi dan menari di hadapan pemimpin politik tertinggi PN sewaktu Majlis Makan Malam dan Persembahan Tarian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru, Johor.

Antara pemimpin politik yang hadir termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram