Khairy tempelak vaksin jadi bahan kempen PRN Johor


  • Politik
  • Sabtu, 05 Mac 2022

KHAIRY berkata, vaksinasi di bawah PICK merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan dan bukan daripada parti-parti politik tertentu. — The Star

PROGRAM pemberian vaksin Covid-19 secara percuma kepada rakyat tidak wajar dijadikan bahan untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, ini kerana vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan dan bukan daripada parti-parti politik tertentu.

"Ia adalah program daripada semua... kerajaan di peringkat Persekutuan. Kerajaan boleh ambil kredit. Mungkin mereka mahu kata sebagai wakil dalam kerajaan, namun kita pun boleh ambil kredit yang sama. Tak perlu jadikan sebagai bahan kempen PRN," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Arahan Barisan Nasional Iskandar Puteri di Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kempen sebuah parti yang didakwa menggunakan papan iklan berkaitan vaksin percuma dan menyatakan program berkenaan merupakan inisiatif parti tersebut.

Sementara itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, semua pihak termasuk parti politik yang bertanding pada PRN Johor diingatkan supaya bersaing secara sihat dan tidak memandang remeh terhadap parti-parti baharu.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau itu berkata, penghormatan perlu diberikan kepada parti-parti baharu kerana setiap parti yang bertanding pada pilihan raya kali ini mempunyai idea dan matlamat tersendiri.

"Kita jangan pandang rendah... semua parti mempunyai idealisme dan visi termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan... semua ada maruah sendiri begitu juga Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, jadi tidak perlu kita meremehkan usaha mereka.

"Semua ada pentas yang sama rata untuk meraih undi daripada rakyat, tidak perlu kita memperlekehkan mana-mana pihak... Kita buat secara sihat, kementerian pun mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) yang agak baik, selamat maju jaya kepada semua," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram