Bukan fitnah, tapi mahu penjelasan isu vaksin — Lokman Adam


LOKMAN mendakwa mahu mendapatkan penjelasan tentang isu vaksin yang sudah tamat tempoh. — The Star

BEKAS ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menafikan beliau memfitnah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung isu vaksin Covid-19.

Beliau sebaliknya meminta Khairy memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung isu vaksin Covid-19 kerana ia merupakan kepentingan awam.

Lokman, 49, menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada Rabu mendakwa beliau bukanlah seorang antivaksin dan pernyataan-pernyataan yang dikeluarkannya mempunyai justifikasi dan komen yang adil.

"Saya menegaskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dipersoalkan oleh plaintif (Khairy) bukanlah fitnah kerana ia hanya untuk menggesa beliau memberi penjelasan dan penerangan berkenaan isu viral yang mana terdapat rakaman video menunjukkan vaksin yang ingin diberikan kepada penerima vaksin sudah tamat tempoh luput," dakwa Lokman menerusi pernyataan pembelaan itu bagi menjawab saman yang difailkan Khairy terhadapnya.

Lokman selaku defendan mendakwa beliau mempunyai tanggungjawab secara sosial dan moral untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan isu vaksin itu bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

Pada 25 Januari lalu, Khairy, 46, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Januari lalu.

Lokman juga membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook tersebut dan YouTube Lokman Adam pada 10 Januari.

Khairy mendakwa kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

Khairy turut mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional.

Malahan kenyataan Lokman itu menyebabkan reputasi Khairy direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan injunksi ex-parte oleh Khairy, antaranya supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

Pada 17 Februari, mahkamah itu juga membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram