Majikan perlu bantu pekerja tangani isu kuarantin, tempat tinggal — MTUC


  • Massa
  • Jumaat, 04 Mac 2022

SYARIKAT perlu mengetahui tempat tinggal kakitangannya kerana ia dilindungi oleh JKKP. —Gambar hiasan/Agensi

PEKERJA yang terpaksa mencari penempatan sementara setelah ahli keluarga atau rakan serumah perlu kuarantin akibat positif Covid-19 perlu memaklumkan perkara itu kepada syarikatnya, kata Datuk Abdul Halim Mansor.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu berkata, perkara itu penting agar syarikat dapat memberi perlindungan sementara, namun tiada dalam peruntukan undang-undang bahawa syarikat harus membiayai tempat tinggal sementara pekerja tersebut.

Menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), jelasnya, seseorang pekerja perlu mendaftarkan tempat tinggal, yang mana ia adalah tempat yang dilindungi oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP).

453229

ABDUL Halim berkata, pekerja juga perlu memaklumkan tempat tinggal sementara kepada syarikat setelah rakan serumah positif Covid-19.— The Star

"Jadi, kalau dia tukar alamat buat sementara dan pergi kerja dari satu kawasan yang tidak didaftarkan, maka dia mesti beritahu syarikat dan nyatakan mengenai kesukarannya.

"Itu yang sebenarnya kita boleh bawa perkara ini kepada pengetahuan syarikat kerana kerajaan telah memberi pengecualian dan buat kenyataan bahawa kontak rapat boleh bekerja" katanya kepada Majoriti.

Lebih penting, Abdul Halim berkata, pekerja tersebut bertanggungjawab untuk memastikan dirinya negatif Covid-19 dan bekerjasama dengan syarikat untuk mendapatkan tempat tinggal sementara.

"Kerajaan telah memberi pengecualian dan membuat kenyataan bahawa kontak rapat boleh bekerja, jadi kalau kita negatif, itu bermakna kita kena datang kerja.

"Jadi, pucuk pangkalnya yang utama adalah kita kena pergi kerja. Yang lain harus dibincangkan kemudian," katanya.

Cuti berbayar

Mengulas lanjut, beliau berkata, seseorang yang didapati positif Covid-19 masih boleh mendapat cuti berbayar tanggungan syarikat, sebaliknya jika ahli keluarga yang lain positif wabak itu, dia tidak akan mendapat cuti berbayar.

"Sebab kerajaan baru keluarkan notis bagi 1 Mac 2022 untuk individu kontak rapat (tidak bergejala) perlu pergi kerja.

"Jadi tarikh itu penting, jika waktu tarikh sebelum diisytiharkan oleh kerajaan itu dia masih dibayar oleh syarikat, maka perkara itu boleh dibawa kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Seksyen 18 Akta Perhubungan 1997," jelasnya.

Bermula 1 Mac 2022, kerajaan menguatkuasakan notis Prosedur Pengurusan Kes Positif dan Kontak Rapat Kes Covid-19 Mengikut Status Vaksinasi Covid-19.

Bagi individu yang positif Covid-19, tempoh isolasi atau kuarantin untuk mereka yang telah lengkap vaksinasi atau menerima dos penggalak adalah selama tujuh hari, manakala mereka yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi perlu kuarantin selama 10 hari.

Tempoh isolasi adalah sama untuk mereka yang mempunyai gejala dan tidak bergejala.

Bagi kontak rapat yang telah menerima dos penggalak, mereka yang tidak bergejala tidak perlu kuarantin, manakala individu yang bergejala perlu kuarantin selama lima hari.

Selain itu, kontak rapat yang lengkap vaksinasi perlu kuarantin selama lima hari sama ada mereka mempunyai gejala atau tidak bergejala.

Kontak rapat yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi perlu kuarantin selama tujuh hari sama ada mereka mempunyai gejala atau tidak bergejala.

Tanggungjawab suami isteri

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim berkata, Covid-19 tidak akan berjangkit sekiranya ia boleh dikawal, yang mana suami dan isteri sebenarnya tidak boleh tidur sebilik dan sekatil sekiranya salah seorang daripada mereka didapati positif.

Namun, katanya, sekiranya kedua-duanya positif, mereka perlu menjaga penjarakan kerana adakalanya simptom yang dihidapi seseorang berbeza.

"Banyak saya lihat kalau isteri atau suami positif, mereka menyediakan kemudahan pengasingan bilik dan bilik air dan kemudian kendali guna SOP (prosedur operasi standard).

"Sekarang ni jika ada kontak rapat tanpa gejala, sudah diarahkan dan diberikan kelonggaran untuk boleh bekerja kerana masalah sekarang mana-mana kontak bergejala syarikat enggan membayar cuti sakit," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram