MAJIKAN atau pihak yang berkaitan diseru agar menerima salinan sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Perintah Pelepasan Kuarantin (RO) setelah tempoh isolasi pesakit berakhir, bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, berdasarkan pelaporan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), sejumlah 90 peratus daripada mereka yang hadir ke CAC adalah untuk tujuan discaj daripada HSO, iaitu terdapat pesakit atau majikan yang mendesak untuk mendapatkan notis secara bertulis.
Beliau berkata, 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC bukan untuk penilaian bagi kes yang merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.
"Hal yang sedemikian menyebabkan penambahan beban tugas di CAC iaitu fokus petugas kesihatan adalah kepada aspek penilaian dan perawatan kes yang memerlukan perhatian khusus.
"Oleh yang demikian, semua majikan diseru untuk peka terhadap perkara ini dan menerima sijil digital HSO dan RO yang dikemukakan, serta tidak lagi mendesak pekerja untuk mendapatkan pengesahan daripada CAC," katanya pada Jumaat.
Mengenai penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Noor Hisham berkata enam negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan (86 peratus), Johor (59), Labuan (57), Kuala Lumpur (54), Sabah (52) dan Melaka (50). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram