Tuduhan 'balas budi', Bos Susu jawab isu lantikan bekas KP Veterinar


  • Primer
  • Khamis, 03 Mac 2022

AZMI menasihatkan mana-mana pihak yang mempersoalkan perkara itu supaya tidak memperbesarkan hal yang tidak sepatutnya. — The Star

PENYENARAIAN bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam sebagai pengarah syarikat produk susu segar terkenal Farm Fresh bukan atas sebab 'balas budi' seperti yang didakwa.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh Sdn Bhd, Azmi Zainal atau lebih dikenali sebagai Bos Susu yang menyatakan bahawa pelantikan itu dilakukan kerana Quaza Nizamuddin merupakan individu yang layak secara profesional.

"Kita lantik sebab kepakaran dia dalam bidang ternakan.

"Selain daripada itu, hubungan global beliau dalam bidang ini juga amat diperlukan," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, beliau sekeras-kerasnya menafikan dakwaan pemilik akaun blog persendirian di Facebook, Bomoh Bursa (@TokMohBursa) yang menyatakan bahawa pelantikan itu dilakukan atas dasar 'membalas budi.'

Azmi Zainal Bos Susu

AZMI Zainal menjawab isu pelantikan bekas Ketua Pengarah Veterinar sebagai Pengarah Farm Fresh.

Beliau juga menasihatkan mana-mana pihak yang mempersoalkan perkara itu supaya tidak memperbesarkan hal yang tidak sepatutnya.

"Seharusnya kita berkongsi perkara yang berilmiah dan bukan mensensasikan perkara remeh," ujarnya.

Terdahulu, Bomoh Bursa berkongsi satu hantaran mempersoalkan pelantikan Quaza Nizamuddin yang didakwa berkait dengan kepentingan peribadinya semasa masih berkhidmat di jabatan itu.

"Tok kenal dengan Quaza Nizamuddin, semua orang boleh lakukan carian di enjin Google. Tok sudah kepilkan prospektus syarikat, dia (Quaza Nizamuddin) baru je bersara Ketua Pengarah (KP) terus dilantik jadi pengarah di Farm Fresh, berani kan?"

"Tahu tak antara kuasa KP Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) adalah beri geran, kuota import susu dan macam-macam lagi insentif daripada kerajaan dan yang Tok tahu Farm Fresh banyak dapat melalui Quaza Nizamuddin," dakwanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan prospektus, Quaza Nizamuddin akan menerima 500,000 saham dalam Farm Fresh, selain dapat elaun sebagai pengarah sebanyak RM100,000.

Atas kemusykilan ini, Bomoh Bursa turut mempersoalkan, sama ada perbuatan ini bukan rasuah dan dibenarkan oleh undang-undang serta salahguna kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram