Ketahui maksud pasangan bipolar dan cara menanganinya


  • Sihat
  • Khamis, 03 Mac 2022

PENCARIAN ahli terapi yang sesuai adalah penting dan perlu diambil perhatian. — Agensi

KISAH perkahwinan pasangan selebriti, Kim Kardashian dan Kanye West merupakan satu contoh kesan bipolar ke atas hubungan suami isteri.

Bukan sahaja membawa kepada penceraian, pasangan yang bipolar boleh mengundang pelbagai masalah jika ia tidak ditangani dengan cara yang betul.

Seperti semua tahu, Kanye secara terbuka mendedahkan tentang masalah bipolar yang dihadapinya malah dia turut memberitahu kini dia tidak lagi mengambil ubat-ubatannya.

Bagaimanapun, ramai yang mengaitkan reaksi dan perubahan emosi yang dipamer Kanye terhadap Kim berkait rapat dengan masalah bipolar yang dihadapinya.

Pensyarah Psikologi di Taylor’s University, Pang Chia Yee berkata, berdasarkan apa yang ditunjukkan di media sosial, Kanye menunjukkan gejala bipolar.

“Bagaimanapun, ia tidak boleh disimpulkan semata-mata berdasarkan media kerana mungkin terdapat fakta dan butiran lain yang tidak diketahui,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan gangguan bipolar, seperti tekanan persekitaran, genetik, ketidakseimbangan kimia dalam badan, atau perubahan dalam otak.

Katanya lagi, untuk mengendalikan pasangan bipolar, orang ramai perlu mengenali gangguan tersebut terlebih dahulu.

“Pertama sekali, kita perlu memahami bahawa gangguan bipolar adalah spektrum, bermakna ia boleh berkisar dari ringan hingga teruk,” ujarnya.

Jelasnya lagi, secara amnya, pesakit bipolar akan mengalami perubahan emosi yang ekstrem, daripada kegembiraan yang melampau (mania) kepada suasana hati rendah yang melampau (kemurungan) atau sebaliknya, dengan kehadiran suasana hati "norma" di antara kedua-dua ekstrem tersebut.

  • Terdapat beberapa gejala yang mungkin perlu diperhatikan iaitu:
  • Penyalahgunaan alkohol atau dadah
  • Perbelanjaan impulsif
  • Perubahan emosi yang kerap

Chia Yee turut memberitahu, bagaimanapun, dalam konteks perhubungan, mengenal pasti bahawa pasangan mereka mengalami gangguan bipolar agak sukar berbanding dengan pihak ketiga.

“Bipolar juga boleh tercetus daripada tekanan emosi, kurang rehat atau tidur, keretakan dalam perhubungan atau perceraian, alkohol, dadah, cuaca, kehamilan, kehilangan pekerjaan, kehilangan apa-apa jenis, tekanan kewangan, dan faktor persekitaran seperti pandemik Covid-19.

“Gangguan mental seperti ini memerlukan diagnosis profesional dan untuk menggelakkan melabelkan pasangan anda dengan salah,” ujarnya.

Untuk mengendalikan pasangan yang bipolar perkara yang perlu dilakukan ialah kenal pasti perkara yang mencetuskan gangguan mereka.

Jangan terasa atau menyalahkan diri sendiri apabila mereka berada dalam satu keadaan emosi yang melampau.

Selain itu, antara perkara lain yang boleh dilakukan ialah:

  • Menggalakkan pasangan untuk mendapatkan bantuan profesional
  • Terima dan fahami had diri sendiri
  • Bersabar
  • Berusaha untuk memahami dan mengetahui lebih lanjut tentang gangguan/kesukarannya

“Walaupun saya menggalakkan orang itu untuk memujuk pasangannya untuk mendapatkan bantuan profesional, stigma sosial atau kebanggaan diri boleh menjadi satu cabaran, kerana mungkin individu tersebut tidak mempunyai anggapan yang baik terhadap penyakit mental dan berasa malu untuk mendapatkan bantuan.

“Beberapa tips untuk membantu memujuk pasangan yang disayangi ialah menunjukkan betapa bermakna terapi ini kepada perhubungan. Cara lain ialah memberitahu mereka bahawa anda tidak tahu bagaimana untuk menyokong mereka dan anda ingin tahu cara membantu mereka dan bersedia untuk berada di terapi bersama,” tambahnya lagi.

Katanya lagi, boleh juga ambil perhatian bahawa mencari ahli terapi yang sesuai adalah penting, jadi jika pasangan tidak 'klik' dengan ahli terapi atau pakar psikiatri, cari yang lain.

Dalam pada itu, Chia Yee turut menasihatkan keselamatan diri mesti diutamakan.

“Jika bekas pasangan anda yang mengalami penyakit gangguan bipolar atau mental mula menjadi agresif secara fizikal atau verbal kepada anda, anda perlu memaklumkan pihak berkuasa (pegawai polis), keluarga anda dan jiran.

“Bagi bantuan profesional, anda tidak perlu menunggu sehingga keadaan menjadi berbahaya untuk mendapatkan bantuan,” kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram