Insentif pengecualian cukai jualan kereta berbaki empat bulan lagi


  • Bizz
  • Jumaat, 25 Feb 2022

PENGECUALIAN cukai jualan sebanyak 100 peratus diberikan kepada kereta CKD dan 50 peratus bagi CBU. — Gambar hiasan/ The Star

TINGGAL empat bulan lagi untuk rakyat Malaysia menikmati insentif pengecualian cukai jualan kereta ke atas pembelian keluaran tempatan atau import sedan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan menerusi Bajet 2022 telah melanjutkan tempoh insentif pengecualian cukai jualan kereta sehingga 30 Jun 2022 bagi menggalakkan pemilikan kereta, merangsangkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

"Di bawah Bajet 2022, pengecualian cukai jualan kereta kekal seperti mana sebelum ini iaitu pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD).

"Manakala pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan ke atas kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU) termasuk MPV (kenderaan pelbagai guna) dan SUV (kenderaan utiliti sukan) merangkumi CBU import baharu dan CBU import terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-86 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya kerajaan telah menyalurkan RM20.355 bilion kepada 357,530 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2,953,820 pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Beliau berkata, setakat 11 Februari 2022 sebanyak RM17.44 juta telah disalurkan kepada 1,744 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 29,065 pekerja.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.perkeso.gov.my/bajet-2022/sip-bajet-2022.html. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram