
POLIS menghentikan tiga operasi syarikat perlombongan mata wang kripto yang didapati mencuri elektrik untuk menghidupkan mesin lombong mereka.
Kegiatan mereka terbongkar selepas semakan mendapati syarikat itu menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian sekurang-kurangnya RM60,000 bagi kecurian elektrik itu.
Selain itu, polis juga mendapati bahawa syarikat berkenaan berjaya mengaut keuntungan lebih RM150,000 selepas hanya dua bulan beroperasi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mereka menjalankan operasi bersama TNB dan Majlis Perbandaran Klang pada 1 Mac dan 2 Mac 2022.
“Kami melakukan serbuan di tiga premis di Bandar Puteri dan Bayu Perdana, Klang, Selangor dan menahan 12 lelaki serta merampas mesin perlombongan mata wang kripto bernilai RM65,000.
"Mereka yang ditahan berumur antara 18 dan 43 tahun dan semakan lanjut mendapati tujuh daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis Klang Selatan pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai penjaga dan juruteknik untuk memantau operasi perlombongan.
“Berdasarkan anggaran kami, ketiga-tiga operasi ini berjaya mengaut keuntungan sekurang-kurangnya RM150,000 dalam tempoh dua bulan mereka beroperasi.
"TNB menganggarkan ketiga-tiga operasi ini mencuri elektrik bernilai lebih RM60,000," katanya.
Ketika ditanya, Hoong Fong berkata, penyambungan elektrik haram itu dapat dikesan oleh pembaca meter TNB.
"Kami sedang menyiasat jika operasi ini bekerjasama dengan pembaca meter untuk mengelak daripada ditangkap," katanya.
Hoong Fong berkata antara Januari dan Februari 2022, polis telah menyerbu lima premis dan merampas 131 mesin perlombongan.
“Tahun lalu kita berjaya menyerbu 11 premis dan merampas 696 mesin bernilai RM300,000 serta menahan enam suspek.
"Operasi ini akan diteruskan bagi memastikan kegiatan haram ini dibendung," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram