Polis gempur pusat operasi along 'online' di Nibong Nebal


  • 112
  • Khamis, 03 Mac 2022

KES disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. — Gambar hiasan/Facebook

SERAMAI enam lelaki dan empat wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemberi pinjaman wang atau ‘along’ secara dalam talian, menerusi satu serbuan di sebuah premis di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Empat, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Lee Chong Chern berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pasukannya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, menyerbu premis itu dalam Ops Vulture pada 4.30 petang.

Ujarnya, seramai 10 individu berusia 18 hingga 30 tahun berada di lokasi itu sewaktu serbuan dilakukan dan pemeriksaan dalam premis berkenaan membawa kepada penemuan beberapa peralatan elektronik mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis mengesyaki premis itu digunakan untuk kegiatan memberi pinjaman wang secara atas talian tanpa lesen dan pusat panggilan bagi kegiatan mengutip hutang," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, polis turut merampas komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama serta kad prabayar yang kesemuanya dipercayai digunakan untuk kegiatan memberi pinjaman secara dalam talian.

Jelas Chong Chern, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dalang sindiket itu yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Semua 10 individu itu dipercayai bekerja dengan sindiket berkenaan dan kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sejak bila mereka beroperasi. Polis tidak menolak kemungkinan peminjamnya bukan sahaja di Pulau Pinang malah beberapa negeri lain juga

"Semua 10 individu yang ditahan itu kini direman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram